KERAJAAN dicadang supaya melaksanakan tiga pendekatan iaitu tasaamuh siyaasi (tolak ansur dalam politik), taawun iktisadi (kerjasama ekonomi) dan takaful ijtimaie (solidariti sosial) dalam usaha merealisasikan semangat Keluarga Malaysia yang digagaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat hari ini berkata, tolak ansur politik itu adalah asas bersama untuk negara ini bangkit kembali dengan kerjasama politik semua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang.
“Saya yakin bahawa memorandum persefahaman (MOU) dikenali sebagai MOU transformasi dan kestabilan politik adalah lambang tolak ansur politik yang saya maksudkan.
“Bagi PAS, perkara ini bukan baharu tapi sudah diperkenalkan PAS melalui konsep kerajaan perpaduan pada 2008 selain konsep Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) pada tahun 2016 bertujuan mengajak kerajaan dan pembangkang bersama-sama demi untuk kebaikan serta manfaat negara,” katanya.
Selain itu, Khairuddin berkata, pendekatan kedua adalah taawun iktisadi atau kerjasama ekononomi iaitu amat sesuai dilaksanakan dalam suasan negara berhadapan krisis ekonomi yang sangat parah hari ini kesan pandemik COVID-19.
Katanya, lebih memburukkan keadaan hutang isi rumah Malaysia 93 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal pada Disember 2020, berbanding nisbah 82.7 peratus pada tahun sebelumnya.
“Ini menunjukkan rakyat sedang berhadapan suasana kritikal, maka sudah tentu kebersamaan, tolong menolong penting untuk negara kita. Ini yang dilakukan oleh Rasulullulah SAW apabila membuka pasar di awal pembukaan Madinah dengan menyediakn ruang kepada rakyat berniaga untuk bangkit menguruskan ekonomi mereka.
“Hari ini, ramai hilang pekerjaaan, tak mampu bayar gaji pekerja dan sewa kedai. Jadi kerajaan perlu buka semula peluang-peluang ekonomi untuk rakyat bagi menggantikan apa yang mereka hilang khususnya golongan B40 dan marhaen seperti melalui TEKUN Nasional (TEKUN) contohnya, dengan sediakan ruang dan peluang perniagaan kecil-kecilan,” katanya.
Untuk itu, beliau memohon mohon TEKUN menggubal gprogram khas untuk mengalakkan golongan B40 terlibat dengan perniagaan secara kecil-kecilan bagi menampung kehidupan mereka selama sebulan.
Mohd Khairuddin berkata, kek ekonomi negara juga perlu disusun semula dengan pembahagian yang adil khususnya kepada negeri Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu.
“Tahniah saya ucapkan apabila kerajaan meluluskan pembinaan Fasa 3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pada Ogos tahun lepas bernilai RM35 juta yang diawalkan, dengan itu akan menghidupkan kembali ekonomi di kawasan terbabit,” katanya.
Selain itu, bagi menambah dana kerajaan, beliau mencadangkan supaya pendanaan dalam Islam diperkasakan melalui wakaf dan zakat.
“Saya mohon agar Menteri Hal Ehwal Agama berunding dengan kerajaan negeri untuk mewujudkan jawatankuasa khas bagi memperkasakan konsep wakaf tunai dan agihan zakat untuk agihan lebih adil dan baik khsusunya asnaf gharimin atau asnaf orang berhutang,” katanya.
Katanya, PAS juga mencadangkan pengenalan cukai-cukai baharu seperti yang dinyatakan sebelum ini iaitu cukai keuntungan saham.
Beliau berkata, perniagaan berkenaan pada ketika ini sedang rancak berlaku di seluruh dunia.
“Contohnya saham peniagaan hadapan atau dikenali sebagai Future Crude Palm Oil (FCPO) membabitkan minyak sawit mentah. Saya sendiri ada pengalaman peribadi di mana dalam sebulan lalu apabila saya melabur dengan modal sebanyak RM20,000 dan dalam masa tiga minggu saya mendapat keuntungan sebanyak RM6,000. Daripada sudut Islam keuntungan ini kita perlu bayar zakat sebanyak 2.5 peratus atau RM150,” katanya.
Katanya, dengan cukai-cukai baharu ini kerajaan Persekutuan dapat mengumpulkan dana-dana baharu untuk pembangunan negara.
Menurut Mohd Khairuddin, pendekatan terakhir adalah takaful ijtimae atau solidariti sosial iaitu mewujudkan semangat solidariti dalam perkara kebajikan dalam kalangan rakyat.
“Tanggungjawab sosial korporat (CSR) mesti diperkuatkan dengan menyediakan pengecualian cukai atau rebat cukai untuk golongan korporat bagi menggalakkan mereka menyumbang.
“Sebagai contoh perladangan sawit yang ketika ini untung tiga kali ganda, juga industri sarung tangan getah yang keuntungan mereka ratusan bilion ringgit, maka CSR mereka patut turun kepada rakyat,” katanya.
Leave a Reply