Oleh RAHIMI MOHAMAD

SERAMAI 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia gagal menyelinap masuk ke negara ini dengan cara tidak sah selepas berjaya ditangkap dalam Op Benteng ketika sedang bersembunyi di tepi pantai Ladang Kurnia, di Kota Tinggi semalam.

Markas Divisyen Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam kenyataan berkata, PATI berkenaan dikesan anggota petugas Pos Pemerhati selepas mendapati terdapat pergerakan bot yang mencurigakan sedang merapat ke pantai pada pukul 10.45 malam.

Katanya hasil maklumat diterima, pasukan telah menghantar Tim Quick Reaction Force (QRF) bagi melaksanakan misi penjejakan.

“Hasil serbuan pada pukul 11.30 malam berjaya menangkap 16 individu dipercayai PATI yang sedang bersembunyi di tepi pantai itu.

“Kesemua mereka terdiri daripada enam lelaki dan 10 wanita berusia 20 hingga 46 tahun yang dipercayai baru sahaja masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak sah,” kata kenyataan itu hari ini.

Tambahnya, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM2,403 termasuk melibatkan mata wang Rupiah bersama-sama lima buah telefon bimbit.

Kesemua PATI itu kemudian dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen di Setia Tropika, Kempas, Johor Bahru.

Ujar kenyataan itu, laporan polis turut dibuat di Balai Polis Bayu Damai sementara Tim QRF dan Tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) sedang menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here