KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) akan mengemukakan permohonan kepada Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi memberi kelonggaran terhadap pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang belum cukup umur 18 tahun untuk mendapatkan vaksinasi.

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, beliau mengambil maklum isu di mana pelajar tidak dibenarkan mendapat vaksinasi oleh pihak pusat pemberian vaksin (PPV) dengan alasan umur mereka belum cukup 18 tahun.

Menurut beliau, keadaan ini pasti menimbulkan kesukaran kepada pelajar-pelajar yang mahu kembali ke kampus.

“Saya telah mengarahkan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi untuk membuat permohonan secara rasmi kepada CITF supaya memberi kelonggaran had umur 18 tahun berdasarkan tahun kelahiran dan bukan mengikut tarikh lahir sebenar pelajar.

“Ini bagi membolehkan pelajar yang lahir pada bulan September hingga Disember 2003 dan mendapat tawaran kemasukan ke IPT, tidak dinafikan oleh PPV apabila hadir mendapatkan vaksin,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Noraini mengulas laporan Utusan TV tentang isu yang dihadapi oleh pelajar-pelajar IPT di bawah umur 18 tahun untuk mendapatkan vaksinasi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here