Korea Utara uji peluru berpandu jarak jauh baharu

KOREA Utara mengumumkan kejayaannya melancarkan ujian peluru berpandu jarak jauh yang baharu hujung minggu lalu, lapor Agensi Berita Yonhap memetik Agensi Berita Korea Utara (KCNA) hari ini.

Peluru berpandu itu terbang selama lebih 7,500 saat atau kira-kira dua jam di atas ruang udara Korea Utara dan mengenai sasaran pada jarak 1,500 kilometer.

Bagaimanapun, ujian peluru berpandu jenis cruise itu dipercayai diadakan tanpa kehadiran pemimpin Kim Jong-un dan dipercayai bertujuan untuk mempamerkan kekuatan ketenteraan negara itu tanpa melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Korea Utara dilarang menggunakan teknologi balistik di bawah beberapa resolusi Majlis Keselamatan PBB.

Bagaimanapun, peluru berpandu cruise tidak dikenakan sekatan kerana dianggap kurang memberi ancaman berbanding balistik.

Peluru berpandu “dengan kelajuan 7,580 saat itu mampu mengenai sasaran sejauh 1,500 kilometer,” lapor KCNA.

Ujian peluru berpandu itu adalah yang ketiga untuk tahun ini.

Pada 21 Mac, Korea Utara menyasarkan dua peluru berpandunya ke pantai barat, menurut Ketua Turus Bersama Korea Selatan (JCS).

Empat hari kemudian, dua peluru berpandu balistik disasarkan ke Laut Timur, dipercayai versi yang ditambah baik dari jenis KN-23 Iskander.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *