PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru semua Ahli Parlimen tidak mengira pandangan politik, untuk sama-sama merapatkan saf demi memulihkan negara dan mensejahterakan semula kehidupan rakyat.
Menurut beliau, seruan itu adalah selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah agar semua pihak mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan.
“Menjunjung titah Tuanku, inilah semangat yang dibawa dalam Keluarga Malaysia yang menekankan perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan untuk mengharungi pelbagai cubaan dan dugaan.
“Saya berharap persidangan ini dapat berjalan dengan lancar demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Seri Paduka ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 hari ini bertitah, kerajaan yang baru dibentuk ini hendaklah segera melipat gandakan usaha untuk memerangi pandemik COVID-19 dan membawa negara serta rakyat keluar daripada ancaman pandemik.
Al-Sultan Abdullah percaya bahawa menerusi amalan budaya kerja berprestasi tinggi dan tumpuan untuk mencapai sasaran jangka pendek dan panjang, kerajaan ini mampu membuktikan pencapaian awalnya dalam tempoh 100 hari pertama.
Melangkah ke hadapan, Seri Paduka menasihatkan kepada semua pihak untuk mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan.
“Justeru, beta menyambut baik keterbukaan kerajaan dengan memberi peluang kepada pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen untuk melibatkan diri dalam tadbir urus negara.
“Kematangan seperti inilah yang didambakan oleh seluruh rakyat beta. Ambillah nasihat pepatah Melayu lama yang berbunyi ‘biduk lalu, kiambang bertaut’.
“Sesungguhnya yang menang tidak menang semua, dan yang kalah tidak kalah semua.
“Hanya menerusi perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan yang erat bagaikan sebuah ‘Keluarga Malaysia’ sahajalah, kita akan dapat mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan yang bakal ditempuh,” titah Seri Paduka.
Leave a Reply