Remaja Terengganu divaksin akhir bulan ini -Adhahm

by

in

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

SERAMAI 93,262 remaja yang layak di Terengganu akan mula menerima suntikan Covid-19, bermula hujung bulan ini selepas imuniti kelompok populasi dewasa berjaya dicapai.
.
Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba, setakat ini Terengganu berjaya mencapai kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa sebanyak 66.73 peratus dan 90 peratus telah menerima dos pertama.

Menurut beliau, berdasarkan data tersebut, Terengganu dijangka mencapai 80 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi pada minggu akhir bulan September ini, seterusnya dapat mulakan program vaksinasi untuk golongan remaja pula.

“Saya akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mulakan vaksinasi kepada remaja dan jika dibenarkan, ia mungkin dilaksanakan pada akhir bulan ini,” katanya.

Dr. Adham berkata demikian kepada pemberita selepas Program Outreach Vaksinasi di rumah penduduk yang tidak dapat hadir menerima vaksin di pusat pemberian vaksin (PPV) kerana beberapa faktor di Kampung Losong, petang ini.

Dalam kunjungan tersebut, Dr Adham turut memberikan suntikan dos pertama vaksin Sinovac kepada Jasmi Azmil Abdullah, 23, yang menghidap penyakit palsi serebral, iaitu sejenis penyakit kelumpuhan otak yang menyebabkan gangguan pada gerakan dan koordinasi tubuh.

Menurut Dr Adham, berdasarkan perancangan awal, pemberian suntikan vaksin kepada remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun akan diadakan di sekolah di seluruh Terengganu.

Beliau memberitahu,
Terengganu bakal menerima bekalan vaksin sebanyak 643,187 dos lagi pada bulan ini seiring dengan usaha kerajaan negeri ini melaksanakan program vaksinasi secara terus (walk in) membabitkan 14 PPV.

Setakat ini kata beliau, pemberian kumulatif dos vaksin di Terengganu adalah lebih 1.3 juta melibatkan warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan individu dengan komorbiditi iaitu mereka yang menghidap dua atau lebih secara serentak pada masa yang sama,” ujarnya.

Sementara itu Dr Adham berharap lebih banyak program outreach dan mobile dapat diadakan bagi memastikan penduduk dapat menerima vaksin.

Ujarnya, usaha itu penting untuk memastikan sasaran 80 peratus populasi dewasa lengkap divaksin pada hujung September dapat dicapai.

“Melalui maklumat dikumpulkan pusat kesihatan daerah, ketua jajahan dan ketua masyarakat, masih ada yang tidak mendaftar dalam MySejahtera dan mereka inilah yang perlu kita cari,” jelas beliau.

Ends


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *