Jangan uji kesabaran Bersatu Johor, konflik boleh tercetus

by

in

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh mengingatkan Menteri Besar Johor supaya tidak bermain api dengan mengeluarkan kenyataan sensitif dan provokatif terhadap parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) negeri.

Tegas beliau, kenyataan terbaharu Datuk Ir. Hasni Mohammad dilihat boleh mencetuskan konflik politik baharu malah tidak menghormati parti dalam gabungan PN yang sama-sama membentuk kerajaan negeri ketika ini.

“Adalah tidak wajar apabila semua parti dalam gabungan PN kini sudah bertenang dan tidak berpolitik, tiba-tiba dikejutkan dengan kenyataan terbaharu Hasni yang tidak matang dan provokatif.

“Apa motif Hasni mengeluarkan kenyataan seperti itu yang boleh mengeruhkan keadaan kerana ketika ini tumpuan utama kita bukanlah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sebaliknya fokus isu-isu rakyat.

“Hasni diingatkan supaya tidak bermain api kerana nanti akan membakar diri,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada penduduk di kawasan Flat 64, Bandar Baru Seri Alam, Pasir Gudang, hari ini.

Kelmarin, Hasni yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Johor berkata, parti itu dan Barisan Nasional (BN) Johor akan bertanding pada PRU-15 di semua 19 kerusi DUN yang telah dimenanginya sebelum ini,

Hasni berkata, parti itu juga bertegas tidak akan menggunakan simbol selain lambang UMNO dan BN malah kerusi-kerusi menang yang ditandingi BN sebelum ini akan terus ditandingi calon BN pada PRU-15.

“Termasuk juga kerusi kita menang tetapi berpindah ke parti lain, susah kita nak berkompromi soal itu. Mungkin ada perkara yang saya rasa boleh, tetapi untuk kita tidak pertahankan parti atau tidak menggunakan lambang dacing adalah sukar untuk berlaku di Johor,” kata Hasni.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, kenyataan Hasni boleh menggugat dan memecahbelahkan kesatuan PN di negeri ini dan memberi isyarat jelas tidak mahu bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor.

Katanya, Hasni tidak seharusnya bercakap besar yang seolah-olah tidak menghargai persahabatan dalam PN termasuk pengorbanan dan jiwa besar ditunjukkan Bersatu negeri hingga membolehkannya menjadi Menteri Besar Johor.

Beliau berkata, Menteri Besar Johor itu tidak perlu mencabar atau menguji kesabaran pemimpin Bersatu Johor yang sudah tentu ada hadnya.

Zakaria berkata, mungkin Hasni merasakan kedudukannya sebagai Menteri Besar Johor sudah ‘selamat’ kerana tiada undi percaya diusulkan terhadapnya dalam sidang Dewang Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini dan sebab itu ‘berani’ mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Tambah beliau, Hasni mungkin tidak sedar atau lupa kedudukannya sebagai Menteri Besar Johor serta kerajaan PN di negeri ini sangat rapuh dan boleh tumbang bila-bila masa jika seorang ADUN menarik sokongan terhadapnya.

Kerajaan PN Johor pimpinan Hasni ketika ini mempunyai 29 kerusi DUN manakala Pakatan Harapan (PH) 27 kerusi, jika seorang ADUN menarik sokongan daripada PN akan menjadikan kerusi DUN PN dan PH masing-masing 28 kerusi, sekali gus DUN Johor akan tergantung atau dibubarkan.

Pada 12 Julai lalu, Zakaria berkata, empat ADUN Bersatu Johor sedia menarik sokongan terhadap kerajaan PN Johor jika UMNO masih mendesak untuk menukar kerajaan di peringkat Pusat.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *