Amalan berpuasa rahsia dua beradik hidup lebih satu abad

AMALAN berpuasa berterusan selama tiga bulan sehingga Ramadan dan puasa sunat Isnin Khamis menjadi rahsia dua beradik dari Kampung Rengas, Tok Bok, Machang, Kelantan hidup sehingga mencecah usia lebih 100 tahun.

Kedua-dua wanita itu, Munah Yunus, 115, dan Pah Yunus, 111,kini hanya mampu mengengsot selepas tulang belakang mereka terjejas akibat terjatuh dalam kejadian berasingan sejak 10 tahun lalu.

Menurut Pah, umur rasmi dia dan kakaknya yang masing-masing telah kematian suami adalah 97 dan 101 tahun.

Bagaimanapun kata ibu kepada lima anak itu, jika mengikut usia sebenar, umur mereka telah melebihi satu abad berdasarkan lambang ‘*’ pada hujung nombor kad pengenalan.

Katanya, mereka bersyukur kerana dikurniakan umur yang panjang dan pada masa sama sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin pada awal Ogos lalu.

“Saya hanya menghidap penyakit darah tinggi dan Parkinson, manakala kakak pula tidak menghidap sebarang penyakit kronik.

“Namun, disebabkan usia yang semakin lanjut pendengaran kami kurang jelas selain penglihatan kakak juga sudah kabur dan nyanyuk,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, nenek kepada 18 cucu serta 36 cicit itu memberitahu, rahsia dia kekal sihat adalah disebabkan amalan berpuasa berterusan selama tiga bulan sehingga Ramadan serta puasa sunat setiap Isnin dan Khamis ketika masih muda.

Malah katanya, amalan itu masih diteruskan sehingga ke hari ini.

“Sejak kebelakangan ini, kakak saya sudah tidak lagi dapat berpuasa berterusan selama tiga bulan dan hanya berpuasa penuh pada bulan Ramadan sahaja kerana mudah keletihan.

“Di sebalik kekangan termasuk faktor fizikal sudah tidak seperti sedia kala, kami berdua tidak pernah meninggalkan amalan wajib iaitu solat fardu lima waktu meskipun terpaksa menunaikannya secara duduk,” katanya.

Sementara itu, anak ketiga Pah, Mohd Ramli Ismail, 63, berkata, ibunya juga sangat mengambil berat perihal pemakanan dan hanya memakan makanan sihat serta mengamalkan makan ulam-ulaman selain berpuasa.

Katanya, dia amat bersyukur kerana ibu dan ibu saudaranya (Munah) dikurniakan kesihatan ketika usia mereka sudah lebih satu abad selain berpeluang melihat cucu serta cicit membesar di depan mata.

“Malah hubungan ibu dan kakaknya juga sangat akrab kerana selepas ibu dan ayah mereka meninggal dunia, hanya tinggal mereka dua beradik sahaja memandangkan tidak mempunyai adik-beradik lain,” tambahnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *