DUNIA politik cukup dinamik. Apa sahaja boleh berlaku. Yang musuh menjadi kawan dan kawan menjadi musuh, malah ada juga kawan menjadi musuh dalam selimut. Begitu juga apabila ada parti politik yang dilihat bermusuh tetapi dari segi tindakan sering dilihat mempunyai impian dan matlamat yang sama.
Ketika berbual-bual dengan beberapa rakan dalam tempoh seminggu dua ini, penulis melontarkan satu pandangan mungkin nampak aneh tetapi kalau difikir-fikirkan bukanlah satu keanehanpun kerana inilah dunia politik.
Pandangan itu ialah, ‘’bagaimana kalau UMNO dan DAP bergabung dalam PRU-15, ia sudah pasti mewujudkan satu kekuatan politik luar biasa. Atas dasar UMNO boleh mendapat undi orang Melayu manakala DAP boleh menguasai undi kaum Cina khususnya di kawasan bandar.’’
Penulis agak terkejut apabila pandangan itu mendapat respons positif. Mereka pun sependapat bahawa UMNO kini tidak boleh lagi bernostalgia dengan perjuangan silam yang sebenarnya sudah tidak kedengaran lagi.
Di Perhimpunan Agung UMNO, kita lebih banyak mendengar kritikan-kritikan kepada kerajaan yang parti itu turut menganggotainya. Dan parti itu bertanggungjawab ‘merealisasikan’ impian pembangkang untuk menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri apabila 15 ahli Parlimennya menarik sokongan.
Walaupun tiada kesepakatan secara rasmi namun ia menunjukkan antara UMNO dengan parti-parti pembangkang sudah ada banyak persamaan dalam mencapai sesuatu misi. Lagipun bagi parti pembangkang, mereka belum tentu ‘sebijak atau seberani’ UMNO untuk menggugat kerajaan yang mereka juga ada di dalamnya.
Satu lagi contoh apabila UMNO berhasrat menukar Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun dengan Datuk Seri Azalina Othman Said, nada yang sama dizahirkan oleh DAP yang bersedia memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Pangerang itu.
Maknanya demi kebaikan bersama maka boleh sahaja kedua-dua parti itu bergabung dan bekerjasama dalam PRU-15. Lagipun konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak boleh sekadar berkisar soal ‘perkahwinan campur’ sahaja, ia harus diperluaskan lagi kepada hubungan politik demi mewujudkan sebuah Malaysia yang sejahtera.
Apa salahnya kalau UMNO dan DAP bekerjasama? Sampai bilakah kita mahu melihat kedua-dua parti itu bermusuhan sedangkan mereka mempunyai kekuatan yang boleh digabungkan bagi membentuk satu kuasa politik ampuh yang akan menguntungkan rakyat Malaysia serta mewujudkan kestabilan politik?
‘’Saya tidak ada masalah kalau dua-dua parti itu bekerjasama, itulah yang sebaik-baiknya. Dalam kalangan anak muda, mereka sudah tidak melihat lagi sesuatu parti itu dari segi perkauman, apa yang mereka mahu satu gabungan parti politik yang boleh membela nasib rakyat.
‘’Soal perjuangan Melayu dan Islam buat masa ini hanya sekadar retorik. Sudah 60 tahun UMNO memegang kuasa, tahap kehidupan orang Melayu dok macam tu jugak. Lain baik kita tumpu kepada pembentukan sebuah gabungan politik yang tidak lagi boleh dikaitkan dengan perkauman,’’ kata seorang anak muda kepada penulis.
Pada pandangan penulis, sudah sampai masanya DAP tidak boleh lagi dimomokkan sebagai parti cauvinis. Sikap politik parti itu jauh berbeza berbanding apa yang didakwa. DAP kini sudah membuktikan sikap terbuka mereka.
Ramai ahli politik Melayu bukan sahaja diraikan menyertai parti itu malah turut ditempatkan termasuk bertanding dalam pilihan raya sehingga menjadi wakil rakyat. Selain itu beberapa pemimpin DAP diihat cukup diterima oleh orang Melayu.
Penulis tidak menyatakan UMNO perlu meninggalkan perjuangan Melayunya, cuma ia tidak perlu diuar-uarkan lagi atau bercakap berdegar-degar. Sekarang ini tidak ada mana-mana partipun waima DAP sekalipun akan memainkan sentimen perkauman apatah mengganggu gugat kedudukan orang Melayu dan agama Islam.
DAP sudah menyatakan mereka berpegang teguh kepada apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan dan pasti memahami batas-batas berpolitik, justeru kenapa perlu memandang serong kepada parti tersebut jika benar mereka boleh mewujudkan kerjasama politik dengan UMNO yang akan memberi manfaat kepada rakyat dan negara?
Benar, UMNO ada dasar ‘No Anwar No DAP’, tetapi rasanya slogan itu sudah tidak relevan lagi kerana apa yang penting ialah kesejahteraan rakyat Malaysia dan kemakmuran negara. Lagipun sebelum ini ‘kerjasama’ tak rasmi sudah terwujud atas kepentingan tersebut seperti mana berlaku di Perak dan Johor. Jadi kalau ia diperkukuhkan lagi dengan bergabung dalam PRU-15 di peringkat pusat bukankah ia lebih bagus?
Sejarah politik negara membuktikan, UMNO mempunyai kekuatan di luar bandar dan kekuatan masih ada sampai sekarang manakala DAP sehingga hari ini menjadikan kawasan bandar sebagai ‘kubu kuat’ mereka tiada parti lain yang mampu mencabar mereka. Lagipun jika UMNO terus bergantung kepada MCA untuk menggugat DAP di kawasan majoriti pengundi Cina, ia ibarat terus sekadar bermimpi.
DAP pernah bekerjasama dengan Bersatu , S46 dan Pas, parti itu juga sampai hari ini kekal menjadi sekutu kepada PKR dan parti serpihan Pa iaitu Amanah, jadi apa salahnya kalau dicuba pula formula baharu ‘’UMNO+DAP 0.1’’?
Perlu diingat DAP juga ada kekuatan di kawasan dikuasai PKR kerana tanpa sokongan DAP, tidak mungkin PKR boleh menang banyak kerusi. Begitu juga kawasan yang mempunyai pengundi bercampur, DAP ada kekuatan di situ.
Adakah ahli-ahli UMNO akan bersetuju jika formula baharu itu dilaksanakan? Jangan risau ahli-ahli UMNO sentiasa patuh kepada arahan kepemimpinan parti. Mereka menghormati kebijaksanaan kepimpinan parti dalam melakukan percaturan politik, sehingga daripada parti yang hilang kuasa dalam pilihan raya kini kembali berkuasa.
Maknanya, kalaulah kepemimpinan parti berhasrat meneroka kerjasama politik baharu itu, mereka tidak akan membantah seperti mana tidak ada protes besar-besaran dilakukan oleh ahli UMNO apabila tersebar surat sokongan Presiden parti itu, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.
Kerjasama antara UMNO dan DAP kalau dibentuk akan membuka era baharu kepada arena politik negara. Rakyat tidak akan dibelenggu lagi dengan persepsi UMNO parti otodok Melayu manakala DAP parti cauvinis. Arena politik negara memerlukan nafas baharu, politik baharu – bukan lagi politik kebencian apatah lagi perkauman. Semua itu tidak menguntungkan rakyat negara.
Seperti mana kata seorang anak muda kepada penulis, ‘’antara rakyat pelbagai kaum tidak ada masalah tetapi ahli politik yang memisahkan mereka.’’
Oleh itu tanggapan seumpama ini harus dihapuskan. UMNO dan DAP boleh memikirkan untuk merealisasikan permuafakatan yang akan membuka era baharu kepada arena politik negara. Kita sama-sama tunggu.
Leave a Reply