Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) menetapkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tujuh lokaliti masing-masing di Sabah dan Pahang berkuat kuasa 10 hingga 23 September ini.
Ketua Pengarah MKN, Datuk Rodzi Md. Saad berkata, PKPD di Sabah membabitkan Kampung Ulu dan Kampung Pasir Putih di Putatan.
Di Pahang pula katanya, melibatkan Kampung Orang Asli Sungai Kiol, Kampung Orang Asli Tekeh serta Felda Sungai Tekam di Jerantut; Kampung Batu 1, Jalan Mentakab, Temerloh; Felda Keratong 8 dan Rompin.
“Selain itu pelanjutan PKPD sehingga tempoh sama bagi beberapa lokaliti di Sabah membabitkan Kampung Pengalat Kecil, Papar serta Kampung Lohan Ulu, Ranau.
“PKPD di Johor pula melibatkan Kampung Orang Asli Simpang Arang, Johor Bahru; Kuarters Pekerja Sri Datai Mining Sdn Bhd di Mukah, Sarawak yang sepatutnya tamat esok juga dilanjutkan berkuat kuasa sehingga 16 September ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, penamatan PKPD bagi lokaliti-lokaliti di Sabah, Johor dan Pahang sebagaimana yang dijadualkan tamat masing-masing pada 8 dan 9 September ini.
Menurutnya, PKPD di Kampung Orang Asli Kuala Masai, Johor Bahru, Johor ditamatkan pada 8 September ini.
Katanya, bagi penamatan berkuat kuasa 9 September pula membabitkan Kampung Bergosong, Pulau Sebatik, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Apas Batu 8, Rancangan Batu 22 Apas, di Tawau, Sabah; Kampung Libang di Ranau, Sabah; Kampung Gading, Kampung Ulu Sapi, Ladang Melia di Telupid Sabah; Beverly Hill Fasa 5, Kampung Nambazan di Penampang Sabah; dan Kampung Landung Ayang di Kudat Sabah.
“Selain itu, PKPD di Ladang Chekah, Bera di Pahang juga tamat pada 9 September ini seperti yang dijadualkan,” kata beliau.
Leave a Reply