Penjawat awam direman rogol anak tiri

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

MAHKAMAH Majistret Kota Bharu hari ini mengeluarkan perintah tahanan reman selama enam hari ke atas seorang penjawat awam bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan anak tirinya, dipercayai berlaku sejak tiga tahun lalu.

Reman terhadap lelaki berusia 38 tahun itu bermula hari ini sehingga Isnin depan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Kota Bharu, Rusli Ahmad.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, lelaki terbabit ditahan di rumahnya di Guchil Bayam pada pukul 5.30 petang semalam.

Menurut beliau, penahanan itu dibuat selepas satu laporan polis dibuat mangsa berusia 14 tahun yang mendakwa dirogol bapa tirinya sejak dia berusia 11 tahun sehingga kejadian terakhir pada 8 pagi kelmarin.

“Mangsa telah menceritakan kejadian tersebut kepada ibu saudaranya sebelum dia tampil membuat laporan polis bersama ibu kandungnya.

“Mangsa dikatakan tinggal bersama ibu dan bapa tirinya sejak tahun 2014 dan dia mendakwa kejadian berlaku semasa ibunya tiada di rumah di mana suspek akan masuk ke dalam bilik tidurnya,” katanya.

Menurut Abdul Rahim, mangsa mendakwa kejadian itu berlaku sejak dia berusia 11 tahun, tetapi mangsa tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa kerana takut dengan ugutan suspek,” katanya di Kota Bharu ketika dihubungi media hari ini.

Katanya, mangsa telag dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi rawatan dan pemeriksaan lanjut.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan pegawai perubatan mendapati ada kesan kejadian baru dan lama pada kemaluan mangsa.

Ujarnya, hasil siasatan awal, suspek mengaku merogol anak tirinya dan kes disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 30 tahun dan sebatan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *