RIZQI ZABIDI
KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyalurkan peruntukan sebanyak RM38 juta bagi memperbaiki infrastruktiur yang rosak teruk dan musnah dalam kejaian kepala air di Yan dan Merbok pada 18 Ogos lalu.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pertambahan peruntukan itu diluluskan setelah pihaknya mengadakan tinjauan di kawasan terlibat, selain mendengar taklimat daripada pihak berkaitan.
Katanya, sebahagian besar daripada peruntukan tersebut iaitu RM35 juta akan digunakan bagi menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Tupah selain menyediakan akses bekalan air bersih dan terawat kepada 450 penduduk.
“Sebanyak RM1 juta daripada peruntukan itu pula akan digunakan untuk membina rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan RM1 juta lagi, untuk bekalan air alternatif.
“Selain itu sebanyak RM500,000 diperuntukkan untuk program ameniti sosial termasuk membaik pulih titi dan jambatan, RM335,000 bagi membaiki jalan kampung dan RM145,000 bagi membaik pulih empat premis tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas hadir melawat kawasan terjeas di Yan, hari ini.
Tambahnya dalam usaha membantu memulihkan kawasan itu, kementeriannya akan mengadakan kolaborasi bersama kerajaan negeri serta pihak-pihak berkaitan bagi menyelaras kerja-kerja yang perlu dilakukan.

“Ini soal bencana dan disebabkan itu kita tak perlukan masa yang lama untuk mengeluarkan bajet bagi memulihkan keadaan.
“Untuk membaik pulih rumah-rumah yang rosak contohnya, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) yang merupakan agensi di bawah kementerian ini sudah pun menjalankan kerja-kerja membaik pulih rumah. Difahamkan setakat ini terdapat kira-kira 35 rumah di tepi sungai yang rosak teruk dan insya Allah kerja-kerja baik pulih akan berjalan secepat mungkin,” katanya.
Leave a Reply