Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN) di peringkat negeri wajar dilantik dalam usaha memerangi Covid-19 dengan berkesan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, ini kerana kes di setiap negeri berbeza daripada segi jumlah, keadaan dan keperluan dalam mengatasi pandemik tersebut.
“Sekiranya dilantik, Pengerusi MPN di peringkat negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri dan Exco kesihatan dalam merangka pelan bersesuaian mengikut negeri.
“Menerusi penubuhan MPN di peringkat negeri, saya yakin akan dapat kenal pasti keperluan dan langkah yang perlu diambil. Keadaan di setiap negeri berbeza, contohnya Johor dan Selangor mempunyai banyak kilang dan kawasan industri,” katanya.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) itu berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan untuk Program Vaksinasi Berkelompok Felda Sungai Mas dan Felda Semenchu di Kediaman Rasmi Pengerusi Kejora, Bandar Penawar, Kota Tinggi, hari ini.
Semalam bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri.
Kabinet dalam mesyuarat pada 1 September lalu bersetuju untuk melantik Muhyiddin memegang jawatan pengerusi majlis tersebut dan perkara itu telah disembah maklum kepada Yang Dipertuan Agong untuk mendapat perkenan.
Berkenaan pelantikan tersebut, beliau mengucapkan tahiah kepada Muhyiddin dan menyifatkannya sebagai satu pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan Ahli Parlimen Pagoh itu sebelum ini.
“Pelantikan ini tepat pada masanya Tan Sri Muhyiddin adalah pemimpin layak untuk mengemudi MPN,” katanya.
Mengenai sumbangan itu, Zakaria berkata, pihaknya terpanggil memberi sumbangan bagi menjayakan program vaksinasi itu kerana Felda berkenaan termasuk di bawah wilayah Kejora walaupun kawasan tersebut di bawah tanggungjawab pihak Felda bertanggungjawab sepenuhnya.
Sementara itu, Ketua Kampung Felda Sungai Mas, Nizam Ali berkata, pihaknya berterima kasih atas sumbangan tersebut yang dilihat dapat meringankan beban penerima vaksin dari dua Felda berkenaan.
Leave a Reply