Pekerja asing maut jatuh bumbung ketika pasang bumbung lutsinar

SEORANG pekerja asing maut selepas terjatuh dari bumbung sebuah kilang ketika melakukan kerja pemasangan sistem solar di Simpang Ampat, Pulau Pinang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang itu, pekerja terbabit maut di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah.

Seorang pekerja asing maut selepas terjatuh dari bumbung sebuah kilang ketika melakukan kerja pemasangan sistem solar di Simpang Ampat, Pulau Pinang semalam.

Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri dalam satu kenyataan berkata, kejadian berlaku ketika pekerja kontraktor itu sedang melakukan kerja-kerja pemasangan sistem solar.

Katanya, mangsa telah ditemui oleh pekerja kilang tersebut dalam keadaan terlentang di aras satu bangunan kilang.

“Mangsa didapati terjatuh dari bumbung akibat terpijak bumbung lutsinar (skylight) di salah satu bangunan di kilang,” kata kenyataan itu hari ini.

Sehubungan itu tambahnya, satu Notis Larangan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 kerana gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja semasa bekerja sehingga menyebabkan kemalangan dikeluarkan pihaknya kepada majikan.

Jelasnya, lokasi kejadian juga disita dan kerja-kerja pemasangan sistem solar dihentikan serta-merta sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Majikan juga diarahkan menyediakan dokumen tambahan bagi membantu proses siasatan lanjut dengan segera dan kes itu disiasat di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *