PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengalu-alukan Kempen Menanam 100 Juta Pokok 2021-2025 oleh kerajaan sebagai langkah menghijaukan negara namun berharap kerajaan tidak memberikannya kepada mana-mana syarikat swasta untuk dikendalikan.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, kempen itu seharusnya mengupayakan orang ramai untuk terlibat dalam menanam pokok di bawah penyeliaan Jabatan Perhutanan kerana boleh menjimatkan wang di samping mencapai objektif kempen.
Dalam masa tegas beliau, kempen menghijaukan negara dengan usaha penanaman pokok sahaja tidak cukup jika penebangan hutan dibenarkan untuk diteruskan berlanjutan.
“Kempen ini akan hanya dilihat semata-mata untuk menutup keburukan bagi Malaysia yang memperoleh pengiktirafan “mempunyai kadar kehilangan hutan tertinggi” antara 10 negara di seluruh dunia yang mengurangkan liputan hutan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu tambah Mohideen, kempen tersebut seharusnya menerima pakai pendekatan serampang dua mata iaitu meningkatkan penanaman pokok daripada spesies yang betul serta mencegah penebangan hutan.
Katanya, langkah itu akan membantu orang ramai mempelajari untuk menghargai dan mengambil pemilikan pokok dalam komuniti.
Jelasnya, untuk menangani punca utama penebangan hutan juga kerajaan mesti memastikan negeri masing-masing bertanggungjawab bagi sebarang aktiviti penebangan hutan sama ada secara sah atau haram yang dijalankan.
Ujarnya, objektif penanaman pokok akan gagal jika kerajaan negeri dibenarkan untuk menyahwartakan hutan simpan atau membenarkan pokok ditebang dengan pemantauan yang sedikit.
“Pada masa ini di bawah Akta Perhutanan Negara, sebarang hasil daripada Kawasan Hutan Kekal atau tanah negeri lain dianggap harta negeri tetapi hasil mungkin hanya boleh dikeluarkan dengan lesen yang betul.
“Oleh itu, ia berada di bawah bidang kuasa negeri dan satu cara bagi kerajaan Persekutuan untuk mengawal penebangan hutan ialah dengan menetapkan syarat mengenai bantuan Persekutuan kepada negeri berkenaan,” katanya.
Tambahnya, undang-undang berkaitan perhutanan dan alam sekitar juga perlu diperketatkan yang mana mesti memastikan terdapat semak dan imbang untuk mencegah penyalahgunaan kuasa.
Ini kerana tegas beliau, Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri hanyalah penjaga aset tanah dan mereka bertanggungjawab sepenuhnya kepada rakyat.
Leave a Reply