guru

Guru antivaksin tetap bertugas, bukan duduk goyang kaki

by

in

Oleh RIZQI ZABIDI

WALAUPUN guru-guru yang menolak vaksin tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka, itu tidak bermakna mereka boleh goyang kaki sahaja.

Sebaliknya, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, kira-kira 2,500 guru terbabit akan diberi tugasan-tugasan lain di sekolah.

Sehubungan itu beliau berkata, dakwaan yang mengatakan guru-guru tersebut hanya akan goyang kaki dan dibenarkan bekerja dari rumah adalah tidak benar.

“Kalau ada yang mengatakan mereka tak ada kerja hendak dibuat, itu tak betul.

“Di sekolah ada banyak perkara lain yang perlu dilaksanakan dan mereka akan diberi tugasan itu.

“Itu tindakan segera di pihak kementerian. Pada masa sama, kami juga sebenarnya akan berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai tindakan selanjutnya terhadap guru-guru ini selaku penjawat awam,” katanya.

Radzi berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke SK Haji Nyak Gam di Yan, Kedah hari ini.

Semalam Radzi mengumumkan, guru-guru yang enggan mendapatkan vaksin Covid-19 ataupun antivaksin tidak akan dibenarkan mengajar, berinteraksi atau bersama murid dalam kelas menjelang pembukaan sekolah bulan depan.

Menurut beliau, Kementerian Pendidikan juga akan mengeluarkan garis panduan kepada guru terlibat mengenai tugas sesuai bakal dilakukan mereka apabila tidak boleh mengajar di kelas.

Radzi juga dijangka akan mengadakan pertemuan dengan guru-guru terlibat selepas ini bagi bagi membincangkan perkara itu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, inisiatif Kementerian Pendidikan untuk bertanya kepada ibu bapa mengenai kebenaran untuk pemberian vaksin kepada pelajar sekolah baru-baru ini hanyalah satu bentuk kaji selidik bagi mendapatkan gambaran awal mengenai pekrara itu.

Beliau menambah, kaji selidik itu masih dilaksanakan kini dan kementerian dijangka akan mendapat maklum balas dalam masa terdekat.

“Itu bukan satu arahan sebaliknya kaji selidik bagi mendapatkan gambaran awal kerana sebarang urusan berkaitan vaksinasi adalah di bawah Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) dan Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF),” jelasnya.

Radzi berkata, hasilnya akan diketahui dalam masa terdekat dan secara keseluruhannya, Kementerian Pendidikan hanya ingin melihat secara umum gambaran awal dari ibu bapa berkaitan vaksinasi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *