beg tangan

Beg tangan LV tak dapat, duit RM3,500 lesap

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

SEORANG wanita bukan sahaja kempunan untuk memiliki beg tangan berjenama terkenal, sebaliknya terpaksa menanggung kerugian RM3,500 setelah barang yang dibeli secara dalam talian itu sebenarnya tidak wujud.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, mangsa terbabit merupakan seorang wanita berusia 33 tahun dan bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta.

Menurut beliau, mangsa tertarik untuk memiliki beg tangan berjenama Louis Vuitton, ditawarkan pada harga RM3,800 sebaik sahaja dia melihat satu iklan melalui laman sosial Instagram yang dilayari pada 27 Julai lalu.

Berikutan itu katanya, mangsa cuba menghubungi penjual tersebut menerusi nombor WhatsApp yang tertera dan suspek bersetuju untuk mengurangkan harga beg itu kepada RM3,500.

“Selepas persetujuan dibuat, mangsa kemudian membuat pembayaran penuh secara pindahan wang ke dalam akaun yang diberikan suspek pada Isnin lalu.

“Namun, selepas bayaran dijelaskan mangsa terus menghubungi suspek untuk meminta nombor ‘tracking’ penghantaran namun mangsa diminta membuat bayaran tambahan kononnya untuk caj kastam sebelum maklumat tersebut akan diberikan,” katanya melalui satu kenyataan, hari ini.

MOHD WAZIR MOHD YUSOF

Menurut Mohd Wazir, permintaan suspek itu menyebabkan mangsa mula berasa curiga dan syak.

Akhirnya kata Mohd Wazir, semalam mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Kuala Krau, Temerloh.

“Berdasarkan semakan dibuat, mendapati terdapat enam kes direkodkan membabit akaun bank yang digunakan suspek manakala semakan nombor telefon pula tiada rekod sebagai nombor bermasalah.

“Polis percaya suspek menggunakan modus operandi bagi memperdaya mangsa dengan menawarkan penjualan barang berupa beg tangan berjenama yang tidak wujud di laman Instagram bagi menipu mangsa,” ujar beliau.

Tambah beliau, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *