Oleh RAHIMI MOHAMAD
TIGA lelaki warga India yang berkumpul tanpa kebenaran dan telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) ditangkap selepas cuba merasuah polis bagi mengelak diambil tindakan.
Kesemua mereka yang berusia lingkungan 30-an hingga 40-an itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, hari ini.
Menurut sumber, salah seorang suspek cuba memberi rasuah berupa wang tunai kepada anggota polis yang sedang mengambil tindakan terhadap mereka.
“Salah seorang suspek telah cuba memberi wang sogokan sebanyak RM2,900 kepada anggota polis supaya tidak diambil tindakan terhadap mereka.
“Perbuatan itu menyebabkan SPRM Johor menahan tiga orang warga India kerana kesalahan memberi wang rasuah kepada anggota polis,” katanya hari ini.
Kata sumber, ketiga-tiganya ditahan kira-kira pukul 3.30 petang di Pejabat SPRM Johor ketika hadir bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
“Mereka telah melanggar Peraturan PPN 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika disabit kesalahan.
Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
Leave a Reply