TARIKH 2 September lalu merupakan ulang tahun ke-23 pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, sekali gus menandakan bermulanya gerakan reformasi yang banyak mengharu-birukan dunia politik tanah air sehingga kini.
Namun, bagi rakyat Malaysia, tarikh 2 September 1998 sudah tidak membawa sebarang erti kepada mereka.
Sebahagian besar daripada mereka, lebih-lebih lagi generasi yang bersama-sama mendukung agenda reformasi, kini tidak lagi bersama Anwar.
Semuanya sedar bahawa reformasi yang dilaungkan oleh Anwar dan konco-konconya hanya satu slogan kosong yang langsung tidak membawa sebarang erti.
Konon-kononnya, agenda reformasi yang meniru bulat-bulat kejayaan gerakan yang sama di Indonesia ingin membuat perubahan yang akan menguntungkan rakyat.
Maka, hebohlah Anwar dan penyokong-penyokong tegarnya mencanangkan kebobrokan kerajaan pimpinan Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Mereka licik memanipulasi sentimen rakyat yang ketika itu terhimpit akibat kesan krisis ekonomi Asia Tenggara.
Dalam keghairahan mereka membantai pentadbiran Dr Mahathir, mereka mungkin buat-buat terlupa bahawa krisis ekonomi yang menyaksikan nilai ringgit jatuh merudum berlaku semasa Anwar menjadi Menteri Kewangan.
Segelintir rakyat yang termakan hasutan pendukung agenda reformasi menyertai demonstrasi jalanan di ibu negara yang dibalas dengan dengan tindakan tegas oleh pentadbiran Dr Mahathir.
Hasilnya, kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Dr Mahathir masih bertahan dan Anwar pun kemudian meringkuk di penjara pada tahun 1999.
Api reformasi terus bernyala namun pakatan pembangkang yang secara umumnya diketuai Anwar masih gagal merampas pentadbiran negara dari tangan BN.
Pembangkang akhirnya berjaya membentuk kerajaan apabila Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Dr Mahathir menewaskan BN dengan majoriti kurang selesa pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Kejayaan Dr Mahathir membawa kemenangan PH itu merupakan faktor yang meranapkan impian reformasi ciptaan Anwar.
Penyokong pembangkang sendiri mula mempersoalkan kepimpinan Anwar kerana kejayaan PH itu merupakan buah tangan Dr Mahathir yang pernah menjadi seteru politik nombor satu beliau.
Orang-orang lama yang menyokong reformasi mula menyesal sebab segala penat-lelah mereka ketika main kejar-kejar dengan pasukan FRU semasa demonstrasi jalanan dahulu menjadi sia-sia.
PKR dan Anwar tergamak tidur sebantal dengan Dr Mahathir yang begitu keras bertindak mematahkan demonstrasi jalanan proreformasi ketika beliau masih berkuasa.
Mereka rasa seolah-olah dikhianati oleh pemimpin agung sendiri yang didakwa sanggup menggadaikan prinsip perjuangan semata-mata untuk mencapai angan-angan menjadi Perdana Menteri.
Akibatnya, semakin ramai yang meninggalkan Anwar setelah menyedari diri mereka tertipu dengan agenda reformasi yang dijual oleh Anwar.
Yang bersama Anwar kini kebanyakannya adalah generasi muda yang mungkin masih di bangku sekolah rendah semasa reformasi bermula 23 tahun lalu, malah mungkin ada yang masih belum lahir.
Anak muda yang berdarah panas lazimnya mudah diperdayakan oleh mainan emosi dan sentimen, sama seperti otai-otai reformasi 1998.
Satu hari nanti, mereka juga akan menjadi dewasa dan matang. Ketika itu, mereka pasti sedar bahawa slogan Demi Rakyat yang dilaungkan pembangkang sebenarnya bermaksud ‘demi perut sendiri’.
Leave a Reply