Ubah kepimpinan, calon PRU jika UMNO mahu sokongan anak muda

PERKATAAN ‘berubah atau rebah’ sering sahaja dilaungkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO dalam perhimpunan agung parti itu sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

Laungan itu bertujuan memberi kesedaran kepada ahli-ahli UMNO untuk berubah sikap dalam memastikan parti yang satu ketika dianggap parti keramat orang Melayu itu terus kukuh di persada politik tanah air.

Tetapi dari semasa ke semasa, UMNO semakin melemah. Masa depan parti itu khususnya dalam meraih sokongan rakyat semakin menjadi persoalan. Cabaran terbesar parti tersebut ialah sejauh manakah mereka mampu mendapat sokongan anak-anak muda – yang suka atau tidak, majoriti mereka berasa ‘alergi apabila menyentuh soal UMNO.

Kesempatan berbual-bual dengan beberapa anak muda berhubung parti pilihan mereka dalam PRU-15 memberi isyarat awal kepada UMNO bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk menarik sokongan golongan itu.

Kepemimpinan UMNO tidak boleh berada dalam sindrom penafian untuk menerima hakikat bahawa perubahan perlu dilakukan jika mereka mahu menang besar dan kembali menjadi dominan dalam arena politik negara.

Selain daripada beberapa pemimpinnya berhadapan dengan pertuduhan di mahkamah, penyakit lama terutamanya penguasaan apa yang dipanggil ‘warlord’ masih kukuh dalam parti itu.

Keadaan itu menyebabkan ramai penganalisis politik melihat UMNO perlu melakukan perubahan besar-besaran atau drastik jika mereka berhasrat untuk menarik sokongan anak muda dalam PRU-15.

Berbual dengan sesiapa sahaja waima dalam kalangan ahli-ahli UMNO sendiripun, mereka menganggap parti itu tidak boleh masuk ke dalam gelanggang PRU-15 dengan barisan kepemimpinan sedia ADA termasuk di peringkat tertinggi.

UMNO tidak ada di hati majoriti anak muda. Mereka tidak nampak kenapa sokongan harus diberikan kepada parti Melayu tersebut. Justeru kepemimpinan UMNO jangan terus berada dalam buaian mimpi dengan merasakan parti berkenaan mampu mencapai kejayaan besar dalam PRU-15.

Kepemimpinan UMNO termasuk sayap Pemudanya tidak mempunyai apa-apa tarikan yang membolehkan anak muda boleh tertarik kepada parti itu. Anak muda mahu parti yang mempunyai kepemimpinan yang bukan sahaja bersih tetapi nampak bersih.

Dalam soal ini, UMNO bukannya tidak mempunyai barisan baharu yang boleh diketengahkan pada PRU-15, tetapi malangnya mereka banyak ‘ditenggelamkan’. Sebagai contoh di peringkat UMNO induk, selain harapan disandarkan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Reezal Merican serta Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad, orang melihat kehadiran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Khairy Jamaluddin sebagai nafas baharu kepada UMNO.

Hishammuddin dan Khairy dilihat pemimpin pelapis kepada parti itu, selain dibantu oleh pemimpin berpengalaman seperti Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Orang juga mula bercakap soal kemunculan pemimpin ‘dua Sha…’’ di peringkat Pemuda iaitu Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Shahar Abdullah.

Kedua-dua mereka dilihat bukan sahaja pemimpin harapan Pemuda tetapi juga pelapis kepada UMNO induk. Karisma dan kenyataan mereka keluarkan dalam mengulas sesuai isu dilihat mempunyai isi dan kematangan serta pengetahuan, bukan sekadar hanya tahu mendesak seperti mana ditunjukkan oleh kepemimpinan Pemuda.

Di peringkat Wanita dan Puteri juga, terdapat mereka yang dilihat berwibawa seperti Datuk Norliza Abdul Rahim, Datuk Rosni Zahari, Dira Abu Zahar dan Datuk Zahida Zarik Khan.

Penulis sekadar menyebut beberapa nama sebagai contoh tetapi yakin bahawa masih terdapat ramai lagi pemimpin muda, berkarisma dan berupaya meneruskan perjuangan UMNO sama ada di peringkat induk mahupun sayap.

Tetapi malangnya, mereka sering sahaja ‘lemas’ atau ‘dilemaskan’ oleh ‘warlord-warlord’ yang sebahagian besar begitu ‘menggigil’ untuk memberi laluan kepada pemimpin-pemimpin muda.

Atas sebab itulah dalam pilihan raya berbanding calon UMNO, calon-calon parti lain jauh lebih muda dan bertenaga, walaupun ada muka-muka lama dikekalkan. Orang bercakap soal Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, orang seronok bercerita tentang ADUN Pasir Pinji yang Ketua Pemuda Sosialis DAP, (DAPSY), Howard Lee Chuan How atau beberapa pemimpin muda Pas yang dilihat pelapis kepada parti masing-masing.

Namun UMNO bagaikan ‘teraba-raba’ untuk menyediakan barisan pelapisnya terutama bagi berhadapan dalam ‘peperangan getir’ PRU-15.

‘’Dalam kalangan anak muda, mereka tidak melihat UMNO mempunyai apa-apa tarikan untuk disokong. Mereka masih melihat muka-muka lama menguasai parti itu. Kalau UMNO mahu sokongan anak muda, mereka perlu melakukan ‘perubahan total’ termasuk menukar Presiden parti dan tidak lagi mencalonkan kelompok yang dianggap ‘warlord’,’’ kata seorang anak muda kepada penulis.

Menurut anak muda itu, dalam PRU akan datang, golongan muda tidak lagi akan melihat kepada parti tetapi calon.

‘’Waima calon itu bertanding atas tiket Bebas sekalipun tetapi calon tersebut berkarisma dan mempunyai idea-idea yang baik, mereka akan sokong. Jadi kalau UMNO mahu bernostalgia dengan perjuangan lamanya, ia boleh dianggap satu kesilapan,’’ katanya.

Bagaimanapun anak muda berkenaan mengakui, ia bukan bermaksud UMNO tidak ada harapan tetapi mereka perlu melakukan perubahan dalam barisan kepemimpinan serta calon pilihan raya.

Dalam memperkatakan perkara ini, penulis berpendapat adalah wajar kepemimpinan tertinggi UMNO sendiri dan beberapa lagi pemimpin kanannya perlu berjiwa besar untuk mencontohi Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz yang sudah menyatakan tidak akan bertanding dalam PRU akan datang bagi memberi laluan kepada pemimpin muda.

Mana-mana calon yang pernah menjadi Ahli Parlimen atau ADUN tetapi kalah dalam PRU-14, tidak payahlah disenaraikan semula. Carilah muka baharu, ramai lagi boleh menggantikan mereka.

Justeru kalau benarlah kepemimpinan UMNO mahu membawa aspirasi rakyat maka mereka juga perlu bersedia melakukan perubahan drastik bagi menghadapi PRU-15. Mana-mana pemimpin yang ‘ada masalah’ terutamanya melibatkan kes berkaitan integriti, perlu bersedia untuk berundur dengan sukarela.

Penulis yakin jika pemimpin seumpama itu masih mahu bertahan dan muka lama pun masih mahu terus menongkat langit kekuasaan, mereka hakikatnya meletakkan UMNO dalam kesukaran pada PRU nanti.

Oleh itu kepemimpinan UMNO perlu jujur dan ikhlas memastikan parti itu turun ke gelanggang pilihan raya dengan wajah-wajah baharu yang segar dan berkarisma serta diadunkan dengan beberapa pemimpin pengalaman yang tidak ada masalah, jika tidak percayalah, parti tersebut akan ‘kalah sebelum bertarung


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *