SEORANG pemandu lori dan kelindannya maut apabila kenderaan dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung di Kilometer 43.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat Bentong, petang ini.
Rakaman kemalangan berdurasi 1 minit 20 saat itu turut tular di media sosial.
Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar berkata, pemandu lori berusia 56 tahun bersama kelindannya berusia 25 tahun maut di tempat kejadian.
Katanya, siasatan awal mendapati lori berkenaan dari Sabak Bernam, Selangor menghala ke Raub dan dipercayai hilang kawalan semasa melalui kawasan selekoh di tempat kejadian.
“Lori itu kemudian terbabas ke kiri jalan dan terjunam ke dalam gaung.
“Kedua-dua mangsa kemudiannya tersepit di bawah lori itu,” katanya, hari ini.
Zaiham berkata, kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ujar beliau, individu yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong Azha Aris memberitahu bomba menerima panggilan pada 2.40 petang dan sampai ke lokasi kejadian pada 3.00 petang.
“Sebanyak 13 anggota bomba terbabit dalam operasi mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit,” tambahnya.
Leave a Reply