Kepala air berlaku lagi di Gunung Jerai

Oleh RIZQI ZABIDI

FENOMENA kepala air sekali lagi dilaporkan berlaku di Gunung Jerai pagi ini berikutan hujan lebat, bagaimanapun dilaporkan tidak membawa kesan buruk seperti 18 Ogos lalu.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan di lokasi terbabit.

“Keadaan setakat ini terkawal dengan saya sudah mengarahkan supaya pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak, Yan dan Sungai Petani melakukan pemantauan di lokasi berisiko setiap empat jam,” katanya.

Sejak pagi tadi tular klip video memaparkan aliran deras yang berlaku di beberapa kawasan termasuk Titi Hayun hingga menyebabkan air sungai melimpah ke jalan raya.

Sementara itu Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor ketika ditemui pemberita memaklumkan, aliran sungai yang semakin cetek berikutan tragedi pada 18 Ogos lalu dipercayai menjadi antara punca mengapa aliran sungai tersebut melimpah.

“Laporan kaji cuaca memang meramalkan hujan lebat akan berlaku sebelum ini dan apabila ia terjadi, keadaan itu menyebabkan air terkumpul di atas Gunung Jerai. Apabila air itu turun dan menyebabkan arus deras, ia melimpah ke darat disebabkan sungai sudah menjadi cetek.

”Oleh itu saya mengharapkan penduduk di situ sentiasa berjaga-jaga serta mengikuti setiap arahan diberikan pihak berkuasa,” kata beliau dalam sidang akhbar di Majlis Pelancaran Pengaturan Pasaran Buah-Buahan Tempatan Bermusim di Padang Pulut, Sik hari ini.

Tambahnya, anggota pasukan keselamatan juga sentiasa diletakkan dalam keadaan bersiap-siaga bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan terlibat.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *