DATUK Seri Ismail Sabri berkata, Sidang Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 kini dikenali sebagai Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang bakal melibatkan wakil daripada parti pembangkang.
Perdana Menteri berkata, perkara itu diputuskan semasa Sidang Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 hari ini.
“Pendekatan ini merupakan salah satu usaha kolektif untuk melibatkan semua pemegang taruh bagi memastikan pemulihan negara berjalan seperti yang telah dirancang, seiring
dengan semangat Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selepas dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan bulan lalu, Ismail Sabri menawarkan ruang kepada pemimpin pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19.
Perdana Menteri menjelaskan, kerjasama rentas parti yang ditawarkan itu bertujuan untuk mewujudkan kestabilan politik menerusi kebersamaan.
Tawaran itu kemudiannya menyaksikan satu pertemuan antara Perdana Menteri dan pimpinan utama PH iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR, Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) dan Mohamad Sabu (Presiden Amanah) di Putrajaya.
Mereka kemudiannya mencapai persetujuan bersama untuk memperkasa fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat.
Dalam pertemuan yang berlangsung selama lebih satu jam itu, Ismail Sabri berkata, kesemua mereka sepakat mencari titik persamaan demi agenda kepentingan rakyat.
“Ia tertumpu kepada agenda kepentingan rakyat dalam mencari titik persamaan yang terbaik bagi menangani krisis pandemik Covid-19, menjaga nyawa dan keselamatan diri daripada ancaman wabak dan membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pekerjaan dan pendapatan,” kata Ismail Sabri.
Menurutnya, inisiatif pertemuan itu adalah sebagai menzahirkan nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu meredakan suhu politik negara.
Leave a Reply