SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah amat dukacita dengan tindakan dalam kalangan guru KAFA, pegawai masjid dan surau serta jurunikah di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang enggan mengambil suntikan vaksin.
Dalam kenyataan hari ini, Sultan Sharafuddin bertitah melalui laporan terperinci daripada Pengarah jabatan itu difahamkan seramai 326 guru KAFA belum mendapat suntikan vaksin Covid-19 manakala 95 orang guru KAFA enggan menerima suntikan vaksin berkenaan.
‘’Sementara itu, seramai 59 orang pegawai masjid belum mendapat suntikan vaksin Covid-19, dengan 11 orang lagi enggan berbuat demikian manakala sembilan jurunikah pula masih belum divaksin dan enam dikenalpasti enggan menerima vaksin.
‘’ Beta berharap pihak Jabatan Kesihatan Selangor dapat menyegerakan proses vaksinasi Covid-19 terhadap guru-guru KAFA, pegawai-pegawai masjid dan jurunikah di Selangor,’’ titah baginda.
Sultan Selangor bertitah, bagi golongan yang memilih untuk tidak mahu divaksin, baginda amat dukacita kerana mereka akan membahayakan diri sendiri dan orang ramai.
‘’Beta bimbang jika masih ada guru-guru KAFA yang tidak divaksin, ia boleh memudaratkan para pelajar. Golongan ini sepatutnya mengetahui bahawa jika seseorang itu dijangkiti dengan virus Covid- 19, suntikan vaksin akan dapat mengelakkan mereka daripada menerima kesan yang lebih buruk dan dapat mengelakkan kematian,’’ titah baginda.
Sultan Selangor seterusnya bertitah, difahamkan sejumlah besar kematian akibat Covid-19 di negeri itu adalah dalam kalangan mereka yang tidak divaksin.
‘’Beta ingin mengingatkan kepada guru-guru KAFA yang masih berdegil ini, mereka berdepan kemungkinan tidak dibenarkan untuk meneruskan tugas, begitu juga kepada pegawai-pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin, mereka juga berhadapan dengan tindakan yang sama,’’ titah baginda.
Baginda juga difahamkan bahawa terdapat 268 orang guru sekolah rendah kebangsaan dan 182 orang guru sekolah menengah kebangsaan enggan divaksin.
‘’Ini juga boleh membahayakan para pelajar sekolah-sekolah rendah kebangsaan dan sekolah-sekolah menengah kebangsaan di i Selangor dan perkara ini perlu diambil perhatian oleh pihak-pihak yang berwajib,’’ titah baginda.
Sehubungan itu Sultan Selangor mengingatkan bahawa pakar-pakar perubatan telah mengesahkan vaksin adalah satu-satunya cara untuk mengatasi penularan wabak Covid-19 buat masa ini.
Titah baginda, kerajaan juga sedang berusaha untuk mewujudkan imuniti kelompok bagi mengurangkan risiko jangkitan yang lebih teruk di masa hadapan.
‘’Beta juga suka mengingatkan bahawa Negeri Selangor telah mengeluarkan fatwa bahawa pengambilan vaksin Covid-19 adalah diharuskan. Justeru, rakyat Beta tidak perlu khuatir atau ragu-ragu untuk mendapatkan suntikan vaksin.
‘’ Isu-isu berkaitan pengambilan vaksin Covid-19 ini telah banyak kali disebut di dalam khutbah Jumaat dan juga menerusi kenyataan akhbar yang Beta keluarkan,’’ titah baginda.
Sultan Sharafuddin menyeru seluruh rakyat Selangor supaya mendapatkan suntikan vaksin daripada Pusat Penyuntikan Vaksin (PPV) yang disediakan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk kebaikan diri dan masyarakat.
Leave a Reply