Oleh ADAM RAZAK
IBU kepada seorang remaja malang yang terpaksa dipotong tangan selepas diserang tiga lelaki dalam kejadian samun dekat Jalan Kuching, Khamis lalu menyifatkan anaknya tenang dan reda menerima ketentuan bahawa tangannya terpaksa dipotong.
Menurut Roslinawati Ya, 39, keadaan anak gadisnya berusia 17 tahun itu stabil dan semakin baik.
Roslinawati berkata, anak sulungnya yang menjadi tulang belakang keluarga itu banyak membantu mencari rezeki termasuk berniaga pakaian, makanan dan produk kecantikan secara dalam talian.
Dia memaklumkan, anaknya, Siti Nur Azizah Syafriadi ada bertanya mengapa tidak diberitahu dahulu sebelum tangannya dipotong selepas mendapat tahu mengenai keadaan dirinya melalui jururawat di hospital.
“Sayu hati saya bila pertanyaan itu keluar tapi saya hanya mampu menjawab keputusan itu diambil ketika dia berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Jika tidak dilakukan, dikhuatiri nyawanya melayang.
“Saya berharap pelaku kejadian ini akan ditangkap dan dihukum atas perbuatan yang tidak berperikemanusiaan ini,” katanya ketika ditemui.
Dalam kejadian pukul 12.10 tengah malam, Khamis lalu, Siti Nur Azizah dan teman lelakinya cedera selepas diserang tiga lelaki dalam kejadian samun motosikal.
Kejadian itu telah memaksa doktor yang merawat Siti Nur Azizah mengambil keputusan memotong tangan kanannya hingga ke paras bahu bagi menyelamatkan nyawanya.
Berdasarkan laporan, mangsa dan teman wanita menaiki motosikal Y15ZR dari arah Jalan Kuching menghala ke Jinjang sebelum didatangi dua lelaki menaiki motosikal RS150 warna kelabu.
Siasatan awal mendapati suspek terdiri daripada tiga lelaki tempatan melarikan motosikal milik mangsa nombor pendaftaran VFU 814.
Polis kini giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan cedera semasa melakukan rompakan.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun sempat melawat dan menyantuni keluarga Siti Nur Azizah di rumahnya di Jinjang.
Rina berkata, kementerian juga memberikan sumbangan melalui Tabung Bantuan Segera (TBS) berjumlah RM300, bakul makanan selama enam bulan, tablet bagi pembelajaran empat adik mangsa dan sumbangan Bantuan Prihatin berjumlah RM1,000.
Beliau berkata, mangsa juga akan diberikan bantuan dari segi sokongan emosi melalui perkhidmatan kaunseling dan intervensi.
“Kita juga sudah mengadakan perbincangan dengan sebuah pasar raya yang bersetuju menawarkan pekerjaan buat adik ini nanti, selain bantuan untuk bimbingan perniagaan kepada ibunya yang kini menjalankan perniagaan dalam talian,” katanya.
Leave a Reply