tindakan

Tindakan bersepadu bebaskan Malaysia daripada krisis

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan pantas dan bersepadu merupakan aspek utama bagi membebaskan Malaysia daripada ancaman wabak penyakit, kegawatan ekonomi serta kekusutan politik yang telah dilalui oleh rakyat sebelum ini.

Maka, Perdana Menteri mengingatkan para menteri Kabinet bahawa setiap kementerian perlu membuktikan pencapaian dalam tempoh 100 hari.

“Segala bantuan yang telah diumumkan mesti disegerakan dan saya akan memastikan kabinet ini berasaskan keberhasilan yang mengutamakan kestabilan dan keselamatan Keluarga Malaysia,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Beliau mengulas tentang mesyuarat Kabinet pertama dipengerusikannya sejak dilantik sebagai Perdana Menteri.

Mesyuarat itu diadakan secara sidang video setelah Ismail Sabri dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan untuk menjalani kuarantin kendiri.

Beliau menambah, antara penekanan utama mesyuarat tersebut adalah membincangkan status terkini jangkitan COVID-19 di negara kita untuk semua kementerian bergerak proaktif bagi pengukuhan tindakan tahap kesihatan demi melonjakkan semula aktiviti ekonomi yang memberi manfaat utama kepada rakyat.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri mengucapkan takziah kepada keluarga anggota tentera, Allahyarham Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa.

“Satu berita yang menyedihkan kita terima hari ini, jenazah Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa yang hilang beberapa hari lalu telah dijumpai.

“Allahyarham merupakan wira kita yang menyertai eksesais Para Predator, di Sungai Pahang pada 29 Ogos lalu,” jelasnya.

Beliau turut mendoakan semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama kalangan roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *