Pemandu kereta rempuh khemah SJR diburu polis

SEKUMPULAN anggota keselamatan yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) Kampung Talak, Chabang Empat Tumpat berdepan detik cemas apabila sebuah kereta tiba-tiba merempuh khemah di kawasan itu.

Dalam kejadian di kampung yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada pukul 11.45 pagi itu mengejutkan beberapa anggota keselamatan yang kemudiannya lari menyelamatkan diri.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, sebuah kereta Proton Iswara hitam secara tiba-tiba merempuh khemah di SJR berkenaan.

Beliau berkata, anggota polis kemudiannya bertindak mengejar kenderaan terbabit apabila melihat pemandu mengundurkan kenderaannya.

“Namun pemandu berjaya melepaskan diri dan gagal dikesan. Anggota sempat mencatat nombor pendaftaran kenderaan,” katanya hari ini.

Ab Rashid berkata, tiada anggota tercedera akibat rempuhan itu dan hanya beberapa barangan rosak.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 26(2) Akta Polis 1967.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *