endemik

COVID-19: Fasa endemik dijangka bermula akhir Oktober

SITUASI COVID-19 di seluruh negara dijangka memasuki fasa endemik mulai akhir Oktober ini apabila kadar imuniti kelompok mencapai 80 peratus.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ketika ini Labuan dan Sarawak sudah mencapai fasa endemik, selain negara lain yang kebanyakannya sudah beralih ke fasa itu dan pengenalan norma baharu untuk hidup dengan lebih sihat serta selamat.

Memetik laporan BH, beliau memberitahu, rakyat juga perlu menerima hakikat sekalipun negara berjaya mengawal pandemik, semua pihak perlu menerima kenyataan akan tiba masanya nanti COVID-19 menjadi endemik.

“Berikutan itu, semua pihak perlu mengambil langkah untuk hidup bersama virus, termasuk mengambil beberapa tindakan seperti perubahan kepada tingkah laku dan usaha mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) berterusan.

“Langkah ini akan membolehkan pelbagai sektor dalam negara dibuka dan kehidupan penduduk negara ini dapat kembali berfungsi seperti sedia kala dalam norma baharu.

“Kerajaan akan umumkan beberapa langkah untuk memudahkan SOP sedia ada supaya tidak terlalu banyak dan rumit. Sebagai persediaan untuk hidup bersama COVID-19, tindakan berikut perlu dilakukan oleh seluruh masyarakat iaitu mengamalkan norma baharu.

“Pemakaian pelitup muka akan diteruskan dan Kementerian Kesihatan (KKM) tidak mempunyai perancangan untuk melonggarkan keperluan pemakaian pelitup muka,” katanya pada sidang media pertamanya di Putrajaya, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong.

Khairy menambah, kementerian itu mengambil iktibar terhadap kelonggaran terhadap pemakaian pelitup muka yang diberikan di sesetengah negara yang kemudiannya terpaksa dilaksanakan semula selepas berlaku penularan varian baharu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Kementerian Kesihatan akan memperkenalkan penggunaan peranti digital bagi memantau individu yang pulang dari luar negara dikuarantin di kediaman masing-masing, selepas berpuas hati dengan projek rintis yang sedang dijalankan ketika ini.

Khairy memberitahu, ketika ini, seramai 404 individu yang pulang dari luar negara dipakaikan peranti digital berkenaan.

“Sebaik kita melepasi projek rintis ini dan berpuas hati, kita akan menggunakan pemakaian peranti digital ini kepada yang lain,” jelasnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *