motosikal

Padah remaja tunggang motosikal ala Superman

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

TINDAKAN seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang menunggang motosikal secara berbahaya dengan melakukan aksi ‘Superman’ membawa padah, apabila dia ditahan polis dalam Operasi Ambang Merdeka di Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu malam tadi.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasa Trafik (JSPT) Terengganu, Superintendan Ismail Man, operasi tersebut dilakukan anggotanya bermula pukul 9 malam hingga 3 pagi.

Katanya, remaja tersebut dilihat menunggang motosikal secara berbahaya dalam satu kumpulan dan tindakan pantas anggota bertugas berjaya menahannya pada pukul 11 malam.

“Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak kurang RM5,000 atau tidak lebih RM15,000,” katanya di Kuala Terengganu, hari ini.

Menurut Ismail, pada masa sama, dua buah motosikal turut disita dalam operasi tersebut kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 60 APJ 1987.

Beliau berkata, operasi dijalankan bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terutamanya di kawasan pusat bandar.

“Sebenarnya operasi malam tadi lebih kepada pencegahan bagi memastikan tiada penganjuran aktiviti dilakukan sempena Malam Ambang Merdeka terutama berkumpul beramai-ramai yang sekali gus melanggar SOP,” ujarnya.

Sehubungan itu beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menganjurkan sebarang aktiviti yang dikategorikan boleh melanggar SOP dan mereka yang ada maklumat mengenai aktiviti berkenaan boleh menghubungi pihak berkuasa.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *