Kekalahan AS di Afghanistan, satu pengajaran buat dunia

Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

KEKALAHAN Amerika Syarikat (AS) di Afghanistan adalah pengajaran besar buat penjajah lain dan generasi akan datang.

Kenyataan itu dikeluarkan Taliban selepas beberapa jam selepas kumpulan terakhir tentera AS meninggalkan Kabul sekali gus menamatkan perang paling lama yang berlarutan selama dua dekad di negara itu.

“Ia juga boleh menjadi pengajaran buat dunia,” kata jurucakap gerakan itu, Zabihullah Mujahid ketika meraikan kemenangan Taliban yang kini kembali memegang kuasa penuh di Afghanistan yang turut disambut dengan bunyi tembakan, bunga api dan sorakan anggota mereka.

Mujahid juga cuba meredakan kebimbangan ramai terhadap corak pemerintahan gerakan itu dengan menyatakan pasukan keselamatan Taliban akan menggunakan pendekatan ‘lebih lembut’ berbanding sebelum ini.

Sementara itu, seorang pemimpin kanan gerakan tersebut menyifatkan Taliban telah mencipta sejarah.

“Kita cipta sejarah lagi. Pendudukan AS selama dua dekad dan pakatan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sudah berakhir.

“Saya berasa sangat gembira kerana perjuangan kita selama ini tidak sia-sia kerana dapat mengecapi detik bersejarah ini,” ujar Anas Haqqani menerusi Twitter.

Ketika ini, Taliban turut menamatkan kesemua pusat pemeriksaan di jalan menuju ke lapangan terbang itu selepas operasi pemindahan berakhir.

Menjelang pengunduran pasukan terakhir tentera AS, sejumlah pesawat, kenderaan perisai dan sistem pertahanan roket berteknologi tinggi di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai, Kabul dilumpuhkan sebelum meninggalkan negara itu pada Isnin. – AFP


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *