DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Allahyarham Tun Sakaran Dandai telah memberikan sumbangan yang besar dalam pembangunan negara khususnya di Sabah, merangkumi pelbagai aspek terutama sosioekonomi.
Perdana Menteri turut berdukacita apabila mendengar berita tentang pemergian bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah itu.
“Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh keluarga Allahyarham dan warga Sabah atas kehilangan tokoh pemimpin yang disegani ini. Semoga tabah menghadapi ujian ini.
“Saya juga mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya, diampuni segala dosa, diterima amal soleh dan ditempatkan dalam kalangan para solihin. Al-Fatihah,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Allahyarham meninggal dunia di Hospital Gleaneagles di Kota Kinabalu, awal pagi ini.
Perkara itu disahkan cucunya Ahmad Marzuki Nasir dan memaklumkan Sakaran, 91, meninggal dunia pada pukul 5.30 pagi tadi.
“Sama-sama kita mendoakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Al-fatihah,” katanya menerusi kenyataan ringkas hari ini.
Pada 18 Ogos lepas, Sakaran dimasukkan ke hospital itu kerana disyaki dijangkiti COVID-19, sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 25 Ogos.
Sakaran berasal dari Semporna berkhidmat sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah kelapan bermula 1 Jan 1995 hingga 31 Dis 2002 dan sebelum itu pernah menjadi Ketua Menteri Sabah kelapan pada 1994.
Allahyarham memainkan peranan penting untuk Sabah dan negara khususnya, dalam meningkatkan taraf sosioekonomi dan pendidikan masyarakat serta menyebarluaskan kesusasteraan Islam.
Jasa Allahyarham amat dihargai sehingga menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2017.
Leave a Reply