PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mula menjalani kuarantin kendiri setelah disahkan menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19.
Perkara itu disahkan dalam kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.
Sehubungan itu, menurut PMO, setelah disahkan menjadi kontak rapat, Ismail Sabri tidak dapat menghadiri istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Simpan Rahsia menteri dan timbalan menteri Persekutuan petang ini.
Upacara mengangkat sumpah pelantikan Kabinet di hadapan Yang di-Pertuan Agong dijadualkan pada pukul 2.30 petang ini.
Seramai 31 menteri dan 38 timbalan dijangka mengambil bahagian dalam upacara angkat sumpah tersebut.
Terdahulu, Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin, yang dinamakan sebagai Timbalan Menteri Pendidikan berkata, beliau didapati positif Covid-19 dan tidak dapat menghadiri upacara tersebut.
Katanya beliau sedang dirawat di Kuala Lumpur dan kesihatan dirinya stabil serta dalam keadaan yang baik.
“Minta semua doakanlah ya kesembuhan saya, insya-Allah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Leave a Reply