dos kesejuta Lembah Klang

Lembah Klang boleh beralih fasa PPN – Ismail Sabri

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpendapat bahawa Lembah Klang sudah boleh beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Beliau turut mengucapkan syabas ekoran kadar vaksinasi di Lembah Klang yang kini melebihi 80 peratus.

“Semua ini bakal diputuskan selepas saya berbincang melalui Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 bersama barisan Kabinet yang akan dipengerusikan saya nanti, insya-Allah.

“Sekali lagi saya sangat berbangga dengan semua pihak yang terlibat dan atas kejayaan yang memberangsangkan ini,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Setakat semalam, sebanyak 90.3 peratus populasi dewasa atau 5,563,589 orang telah menerima dua dos vaksin.

Bagi dos pertama pula, kadar vaksinasi adalah sebanyak 110.9 peratus atau 6,836, 892 orang.

Secara keseluruhan, seramai 14,648,590 individu atau 62.6 peratus daripada populasi dewasa negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

JKJAV menerusi perkongsian infografik di laman Twitter rasminya hari ini memaklumkan, seramai 19,389,392 individu atau 82.8 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam sebanyak 34,027,548 dos.

Menurut JKJAV, 59.4 peratus daripada jumlah populasi keseluruhan negara telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19, manakala 44.9 peratus telah melengkapkan vaksinasi.

Sementara itu, vaksinasi harian semalam merekodkan sebanyak 302,804 dos dengan 142,186 merupakan dos pertama dan 160,618 adalah dos kedua.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *