DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan terima kasih kepada atlet paralimpik kebangsaan, Jong Yee Khie atas kejayaan merangkul pingat perak dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020 hari ini.
Perdana Menteri menyatakan penghargaan itu dalam hantaran Facebook, hari ini.
“Terima kasih Jong Yee Khie kerana menghadiahkan Keluarga Malaysia pingat perak bagi acara powerlifting kategori 107 kilogram (kg) lelaki dengan angkatan seberat 237 kg.
“Anda telah berjaya menyahut cabaran untuk memastikan Jalur Gemilang berkibar di bumi Tokyo.
“Penghargaan yang sama buat jurulatih dan seluruh kontinjen Malaysia,” katanya.
Yee Khie, 32, yang beraksi dalam kelas 107 kg menghadiahkan pingat perak buat kontinjen negara dengan angkatan terbaik 237 kg di Tokyo International Forum.
Atlet dari Sarawak itu gagal melakukan angkatan 230 kg pada percubaan pertama sebelum berjaya melakukan angkatan 237 kg pada percubaan kedua.
Dia kemudiannya cuba melakukan angkatan 245 kg pada percubaan ketiga namun usaha itu tidak berhasil.
Pingat emas dimenangi Sodnompiljee Enkhbayar dari Mongolia dengan angkatan 245 kg yang juga rekod baharu temasya manakala Saman Razi (Iran) meraih gangsa, 231 kg.
Enkhbayar yang juga pemegang rekod dunia, memperbaiki rekod temasya 238 kg yang dilakukannya atlet Greece, Pavlos Mamalos di Paralimpik Rio 2016 dengan catatan baharu 241 kg sebelum melakukan 245 kg di Tokyo.
Leave a Reply