Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SEORANG anggota tentera dikhuatiri lemas dipercayai ketika latihan sempena Eksesais Para Predator Siri 1/2021 di Kampung Batu Bor, Bera, Pahang, semalam.
Insiden itu dimaklumkan adik mangsa selepas dimaklumkan kakak iparnya bahawa abangnya dikhuatiri lemas ketika latihan tersebut.
Noor Suhada Mohamad Isa, 24, ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini, mengesahkan kejadian itu yang menimpa abangnya, Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa, 27, yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu.
Menurutnya, kejadian membabitkan abangnya yang merupakan anak kedua daripada empat beradik itu diketahui menerusi isteri abangnya kira-kira jam 7 petang semalam.
“Abang memang ada beritahu mengenai latihan di Pahang dan kali terakhir saya jumpa dia (Mohamad Azrin) pada Januari lalu.
“Tiada perubahan sikap yang ditunjukkan dan dia ceria seperti biasa” katanya lagi.
Mengharapkan abangnya segera ditemui, Noor Suhada memberitahu, anggota tentera itu satu-satunya anak tunggal lelaki daripada empat beradik.
“Abang seorang penyayang, ceria dan sangat disenangi kerana sikapnya yang suka membantu orang,” ujarnya.
Sebelum ini, pada Sabtu lalu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melakukan lawatan dan melihat latihan yang dijalankan sempena eksesais tersebut.
Eksesais Para Predator merupakan salah satu eksesais yang dilaksanakan Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui 10 Briged (PARA) yang berpengkalan di Kem Terendak, Melaka dalam tempoh 14 hari melibatkan seramai 1,894 anggota tentera dengan 151 aset logistik Tentera Darat Malaysia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Mujibur Rahman Ishak turut memuat naik status mengenai insiden itu dalam laman Facebook miliknya dan melawat di tempat kejadian pada petang semalam.
Leave a Reply