100 hari bukti kemampuan, jika gagal ‘pandai-pandailah bawa diri’

KETIKA Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan barisan Kabinet pada 27 Ogos lalu pelbagai gelaran diberikan oleh pelbagai pihak termasuklah Kabinet 69, Kabinet besi buruk, Kabinet kitar semula dan macam-macam lagi.

Maklumlah, sekarang ni ramai berasa lebih bijak daripada Perdana Menteri untuk membentuk Kabinet. Dan ada pula parti-parti politik yang berasa ‘puak’ mereka sahaja layak menguruskan negara.

Oleh itu hari ini, apabila selesai mengangkat sumpah kesemua menteri perlu membuktikan segala ‘kata-kata nista’ tersebut tidak benar. Mereka hanya mempunyai 100 hari sahaja untuk membuktikan kemampuan masing-masing.

  • Usah lakukan tindakan ibarat ‘beri peluru’ kepada musuh

100 hari bukanlah satu tempoh yang panjang, ikut kiraan kasar tiga bulan 10 hari sahaja. Jadi setiap hari, setiap jam adalah penting bagi kesemua menteri-menteri tersebut. Mereka tidak boleh habiskan masa dengan membuat Tik Tok entah apa-apa, membuat gimik menjadi penghantar makanan atau melakukan tindakan lain yang ibarat memberi ‘peluru kepada musuh’.

Sebenarnya ‘musuh’ mereka pun bukanlah hebat sangat. Semasa memerintah 22 bulan dulupun, rakyat sudah tahu sejauh mana kemampuan mereka. Kemampuan mereka setakat menjadi pembangkang seperti sekarang… itu sahaja, sebab bila jadi kerajaan ‘kelam kabut’ mereka…lebih teruk lagi.

Tetapi menteri-menteripun kenalah buat kerja betul-betul. Dalam tempoh 100 hari beri tumpuan sepenuhnya kepada isu berkaitan rakyat. Soal dasar-dasar lain boleh diketepikan dulu, yang penting sekarang mencapai misi ditetapkan oleh Perdana Menteri iaitu memulihkan ekonomi dan menyejahterakan rakyat.

Dalam soal ini, menteri-menteri di kementerian yang ada kaitan atau hubungan langsung dengan rakyat perlu  memberi tumpuan kepada tugas mereka.

Jangan dalam tempoh 100 hari ini, dok lenggang lenggok lagi, seolah-olah seronok dapat kembali ke pejabat menteri, apatah lagi siapa sangka lepas letak jawatanpun dapat semula jawatan lama.

Tidak mengapalah itu rezeki menteri berkenaan tetapi kali ini mana-mana menteri yang dilihat pernah melakukan tindakan kontroversi sehingga mencetuskan kemarahan atau menimbulkan perasaan tidak puas hati kepada rakyat tidak harus mengulangi perbuatan itu.

Yang mahu beri bantuan kepada keluarga miskin, tak payahlah menteri pergi bersama ‘rombongan Cik Kiah’ …kalau boleh diwakilkan kepada pegawai lagi bagus supaya menteri boleh tumpu urusan lain pula.

  • Selesai isu menyentuh rakyat secara langsung

Kalau melihat  reaksi dalam media sosial, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi antara kementerian paling mendapat perhatian. Respons negatif jauh lebih banyak daripada positif. Kenapa jadi begitu?

Menteri Pendidikan Datuk Dr.Radzi Jidin dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Noraini Ahmad tidak perlu terasa dengan respons negatif itu. Jangan gabra atau panik tidak tentu hala.

Apa yang penting lihat satu demi satu kritikan itu. Yang mana ada kelemahan perbaiki, yang mana sudah baik perkukuhkan. Tidak boleh ada dasar atau tindakan ‘flip flop’ yang menyusahkan rakyat.

Sebelum membuat apa-apa keputusan, fikirkan dulu kesannya kepada rakyat. Jangan pagi suruh hantar anak masuk mendaftar, petang suruh ibu bapa jemput semula anak mereka. Semua itu menyusahkan.

Tidak perlu membuat pengumuman atau keputusan kementerian dengan ‘pelbagai gaya’ apa yang penting ialah adakah apa yang mahu dilakukan benar-benar memberi manfaat dan akan menguntungkan rakyat.

Begitu juga yang jaga ekonomi khususnya Kementerian Kewangan, penulis yakin Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz boleh meneruskan kerja-kerja dan misi beliau yang tergendala sebelum ini.

Penulis akui sudah banyak dilakukan oleh Kementerian Kewangan dalam usaha membantu rakyat tetapi masih ada ruang yang perlu diperbaiki khususnya melibatkan soal moratorium dan beberapa isu lain.

Walaupun kehadiran beberapa muka lama dalam Kabinet dilihat ‘tidak begitu disenangi’ namun penulis secara peribadi tidak nampak apa-apa masalah dengan pelantikan Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Shahidan Kasssim.

Ketiga-tiga mereka ada pengalaman dalam Kabinet. Penulis yakin mereka akan mampu melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan. Kalau mahu ikut pembangkang, siapapun yang dilantik mereka tidak akan berpuashati, jadi biarkan sahaja.

  • Jangan biarkan Timbalan Menteri sekadar pelengkap struktur kementerian

Seperkara lagi, penulis berharap menteri tidak menjadikan timbalan mereka sekadar pelengkap kepada struktur kementerian. Dalam keadaan mereka  mempunyai masa cukup suntuk bagi mencapai KPI ditetapkan, adalah wajar para menteri membahagi-bahagikan tugas dengan timbalan masing-masing.

Pembahagian tugas ini penting bagi mengelakkan kehadiran timbalan menteri dilihat tidak ada ada apa-apa fungsi. Sebab itulah rakyat tidak kenal mereka dan pelantikan mereka dilihat hanya membazir wang rakyat.

Penulis faham menteri mungkin tidak mahu timbalannya membayangi beliau tetapi sekarang bukan masa mahu soal bayang membayang atau bayang-bayang, sekarang ialah masa untuk menumpukan sepenuh tenaga bagi memulihkan negara dan menyejahterakan rakyat.

Apa yang penting setiap tindakan timbalan menteri perlu diketahui oleh menteri dan dlihat tidak bertentangan dengan menteri khususnya melibatkan soal dasar dan keputusan kementerian.

Sememangnya cabaran kepada seluruh anggota Kabinet amat mencabar. Dalam tempoh 100 hari ini, apa sahaja yang mereka lakukan akan diperhatikan dan dinilai.

Tidak kisah kalau penilaian itu dibuat secara objektif tetapi dalam keadaan kekalutan politik yang masih terasa bahangnya, penulis tidak yakin menteri akan dinilai secara adil. Tetapi penilaian oleh ahli politik tidak penting, yang penting penilaian rakyat.

Sebab itulah tumpuan perlu diberikan kepada rakyat bukan memikirkan apa yang akan dinilai oleh parti politik. Rakyat yang akan menilai dan rakyat yang akan menentukan nasib menteri-menteri.

Justeru jangan ada menteri yang masih tidak faham-faham lagi, termasuklah pegawai mereka, janganlah emosi bila ‘boss’ dikritik. Ambil sahaja apa yang dikritik sebagai ‘input’, kalau ada kebenaran sampaikan kepada ‘’boss’ supaya ditangani, kalau nampak lebih banyak berunsur peribadi atau bermotif politik,tenang-tenang sahaja.

Kesimpulannya, para menteri dan timbalan menteri yang memulakan tugas secara rasmi hari ini perlu memahami cabaran besar menanti mereka. Jika dalam tempoh 100 hari ada antara mereka gagal mencapai KPI yang ditetapkan, pandai-pandailah ‘bawa diri’. Ia bagi mengelakkan seluruh Kabinet menjadi ‘mangsanya’.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *