VIDEO seekor ular sawa raksasa sedang menyusur di sebuah kebun penduduk kampung sebelum menuju ke hutan tular di media sosial.
Lapor Tribunnews, kejadian itu dirakam di Desa Mekarsari dekat mukim Kintap, didaerah Tanahlaut Kalimantan Selatan, baru-baru ini.
Ular sawa sepanjang antara tujuh hingga lapan meter itu dikenalpasti melalui warna kulit ular bercorak kuning keputihan dan hitam.
Ketua Kampung Desa Mekarsari, Wintono mengesahkan penemuan reptilia itu di kawasan kampungnya.
“Lokasinya itu di sekitar lombong. Jarak dengan rumah penduduk kira-kira satu kilometer. Ular berkenaan panjang sekitar lapan meter,” katanya.
Wintono berkata, video berkenaan diambil oleh seorang pemancing dari Sungaidanau, daerah Tanahbumbu dua minggu lalu.
Wintono berkata, pemancing itu hanya sempat mengambil video berkenaan selama beberapa saat kerana bimbangkan keselamatan.
Ujarnya, ini bukan kali pertama penduduk kampung menemui ular raksasa, malah mereka pernah melihatnya ketika musim banjir.
“Sebelum ini ketika banjir di kebun, penduduk pernah melihat ular sawa yang besar.
“Mungkin kerana banjir sedalam satu meter, ular itu mencari tempat lain yang lebih selesa,” katanya.
Wintono berkata, setakat ini tiada kejadian kehilangan haiwan ternakan disebabkan kehadiran pemangsa itu di kawasan berkenaan.
“Alhamdulillah, setakat ini semuanya baik saja,” katanya.
Leave a Reply