Lajim Bersatu

Lajim banyak jasa terhadap Bersatu – Muhyiddin

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Allahyarham Datuk Seri Lajim Ukin merupakan seorang ahli politik berpengalaman yang banyak berjasa dalam mencorakkan hala tuju Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurut beliau, jasa Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu amat dihargai oleh seluruh kepimpinan dan ahli parti.

Presiden Bersatu itu turut menyifatkan Lajim sebagai seorang sahabat dan rakan seperjuangan yang beliau kenali sejak sekian lama serta pernah bersama-sama berkhidmat dalam kerajaan sebelum ini.

“Mewakili Bersatu dan Perikatan Nasional (PN), saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas jasa bakti Allahyarham sepanjang bergelar Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi dan juga selaku Pengerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

“Sama-samalah kita sedekahkan al-Fatihah. Semoga amalan baik Allahyarham mendapat ganjaran dari Allah SWT dan rohnya ditempatkan bersama orang beriman dan beramal soleh. Amin,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Muhyiddin dan keluarga turut mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham atas pemergian orang yang tersayang.

“Semoga tabah melalui saat yang mendukacitakan ini,” jelasnya.

Lajim meninggal dunia akibat COVID-19 di Hospital Pakar KPJ Kota Kinabalu, pagi ini dan perkara itu disahkan isterinya, Datin Seri Normilah Siong ketika dihubungi Bernama, dan memaklumkan Allahyarham, 66, meninggal dunia pukul 6.23 pagi tadi.

Sementara itu pegawai khasnya Ismail Norazman berkata, jenazah Allahyarham yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah akan dibawa ke kampung halaman beliau di Kampung Kebatu, Beaufort untuk disemadikan.

“Terima kasih untuk segala doa kalian. Semoga Allah menempatkan beliau dalam kalangan hamba-Nya yang soleh di sisi-Nya kelak, diampunkan segala dosa dan diterima segala amal kebaikannya di dunia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pada 24 Ogos lepas, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, ditidurkan pada jam 2 petang di hospital sama untuk rawatan susulan akibat jangkitan COVID-19.

Beliau berkata sebelum ini hospital itu memaklumkan bacaan oksigen Allahyarham menunjukkan kemajuan yang baik sepanjang tempoh rawatan, bagaimanapun keadaan kesihatannya merosot awal pagi ini sebelum meninggal dunia.

Lajim merupakan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah selama tiga penggal bermula 1999.

Alllahyarham juga pernah menjadi Timbalan Menteri Pengangkutan pada 2008 hingga 2009 dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 2009 hingga 2012.

Beliau menyertai UMNO pada 1994 seterusnya dilantik sebagai Ketua UMNO Bahagian Beaufort, sebelum menyertai PKR pada 2016 dan kemudian menyertai Bersatu sebelum dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu untuk penggal 2019 hingga 2022.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *