Kabinet

Kenapa masih berbunyi, terima sahaja pelantikan Kabinet

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

“KENAPA masih perlu berbunyi, terima sahajalah pelantikan yang dibuat,” ujar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Sehubungan itu, Ahmad meminta semua pemimpin parti politik agar dapat menerima pembentukan barisan Kabinet baharu sepertimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sebahagiannya turut mengekalkan wajah sama.

Ini kerana, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu, ketika ini kerajaan yang ditubuhkan tidak memiliki majoriti besar di dalam Parlimen.

Malah ujarnya, perkembangan ini tidak pernah berlaku sepanjang pemerintahan parti UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebelum tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Kalau nak kata Kabinet baharu ini sebagai kitar semula atau apa sahaja hanya disebabkan ada wajah yang sama, tetapi perlu diingat bahawa kita ni ada masalah, kita bukan kerajaan yang kukuh, kita ada beberapa parti.

“Sebab itulah kita kena bertolak ansur, perlu sama rata,” katanya di Kuala Terengganu, hari ini.

Menurut Ahmad, pemimpin parti politik usah asyik ‘berbunyi’ sahaja, sebaliknya perlu berkorban dengan memberikan fokus terhadap masalah rakyat.

Beliau berkata, apa yang penting buat masa ini ialah bersama-sama menangani isu Covid-19, pemulihan ekonomi, pengangguran dan juga peningkatan kes bunuh diri.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pengumuman barisan Kabinet oleh Perdana Menteri menghampakan rakyat kerana masih membariskan menteri dan timbalan menteri yang sering dikritik dan dianggap gagal sebelum ini.

Menurut Anwar, rakyat melihat senarai Kabinet yang diumumkan itu hanyalah ‘kitar semula’ hingga ia dijadikan bahan sindiran di media.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *