dos kesejuta

Ismail Sabri saksi suntikan vaksin dos kesejuta

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyaksikan sendiri suntikan vaksin AstraZeneca dos kesejuta di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Memetik laporan BH Online, suntikan itu dilakukan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim.

Penerima dos vaksin AstraZeneca kesejuta itu ialah Zamratulazmi Sarmadi, 38.

Penjawat awam itu menggangap dirinya sangat bertuah kerana suntikan vaksin yang diterimanya hari ini di PPV WTCKL disaksikan sendiri oleh Perdana Menteri yang baharu.

Zamaratulazmi yang juga jurugambar Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, beliau mengetahui menjadi penerima dos kesejuta setelah hadir ke kaunter vaksin di WTCKL namun langsung tidak mengetahui mengenai kehadiran Ismail Sabri.

ismail sabri dos kesejuta
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tiga dari kiri) menyampaikan replika suntikan yang ke 1 juta kepada Zamratulazmi Sarmadi, 38,(tiga dari kanan) di Pusat Pemberian Vaksin WTCKL, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

“Saya menerima panggilan telefon tadi dan diminta untuk hadir awal ke PPV di WTCKL. Saya tidak diberitahu pun mengenai dos kesejuta.

“Hanya apabila tiba di kaunter dua di sini, saya diberitahu menjadi penerima kesejuta dan selepas itu dimaklumkan Perdana Menteri baharu akan hadir melihat suntikan itu dilakukan.

“Saya memang sangat terkejut dan sedikit gembira kerana pengalaman lain dari yang lain,” katanya, hari ini.

dos kesejuta
Zamratulazmi Sarmadi, 38, bangga selepas diumumkan sebagai penerima vaksin yang ke 1 juta di Pusat Pemberian Vaksin WTCKL, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

Bapa kepada dua anak itu juga menasihatkan mereka yang belum mendaftar atau enggan mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 agar berbuat demikian, sebagai usaha menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

“Mendapatkan suntikan ini adalah usaha kita sebagai seorang rakyat untuk membantu kerajaan mengekang jangkitan COVID-19, selebihnya kita reda dan bertawakal kepada Allah sahaja,” katanya.

Tahniah kepada Zamratulazmi kerana berjaya menjadi penerima dos vaksin kesejuta di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *