MASIHKAH kita ingat tujuh perkara yang digariskan oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang didakwa kegagalan Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga mendorong parti itu menarik sokongan kepada beliau sebagai Perdana Menteri pada 7 Julai lalu?
Antara tujuh perkara itu ialah mendakwa kegagalan kerajaan menangani pandemik Covid-19 secara berkesan, kegagalan kerajaan mempertahankan sistem demokrasi Berparlimen hingga memandulkan segala amalan demokrasi semak dan imbang dan kegagalan kerajaan menguruskan bantuan dan tuntutan rakyat secara berkesan untuk semua peringkat dan kategori.
Ini termasuklah tuntutan moratorium 2.0 tanpa caj/faedah terakru, dasar moratorium yang tidak dipanjangkan kepada agensi-agensi kerajaan lain seperti LPPSA (Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam), skim i-Citra yang tidak mesra rakyat, bantuan tunai seperti BPR, BPN dan BKC yang lambat dan amat terhad.
Dan malam tadi perkara ini yang hampir serupa digariskan sebagai ketetapan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO ‘dilontarkan’ pula kepada Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk dilaksanakan.
Kali ini ia dengan tiga lagi gesaan atau desakan iaitu penubuhan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat pendedahan yang dilakukan oleh Tommy Thomas mengenai campur tangan politik dalam institusi-institusi Peguam Negara, Kehakiman dan Keselamatan.
Kerajaan terus menggunakan jenama ;’Keluarga Malaysia’ dan tidak lagi Kerajaan Perikatan Nasional dan menyahut titah Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan kerjasama dan permuafakatan rentas parti bagi bersama-sama menangani kemelut ekonomi pandemik Covid-19.
Dalam kenyataan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi yang diedarkan kepada media pada awal pagi ini turut disertakan dengan perkataan, ‘’beberapa panduan utama telah dibincangkan dan DIPERSETUJUI bersama YAB Perdana Menteri merangkap Naib Presiden 1 UMNO bagi memastikan kelancaran perjalanan kerajaan.’’
Dalam bahasa mudahnya, Ismail Sabri harus memastikan semua ‘desakan dan gesaan’ UMNO itu dilaksanakan.
Persoalannya, kenapa UMNO mahu memberi tekanan kepada Ismail Sabri dan menggariskan perkara-perkara yang perlu dilakukan dan ada antaranya pernah dijadikan alasan untuk menyingkirkan Muhyiddin daripada kerusi Perdana Menteri?
Apakah MT UMNO juga akan membuat keputusan menarik sokongan kepada Ismail Sabri jika beliau gagal melaksanakan perkara yang ‘DIPERSETUJUI’ itu? Perlu diingatkan dahulu UMNO juga mendakwa Muhyiddin tidak melaksanakan perkara yang dipersetujui.
Sepatutnya Ahmad Zahid dan MT UMNO tidak perlu membuat demikian jika mereka benar-benar meneliti apa yang dinyatakan oleh Ismail Sabri dalam ucapannya ketika mengumumkan barisan Kabinet semalam.
Perdana Menteri awal-awal lagi sudah menegaskan,’’ Kabinet ini perlu bertindak pantas dan bersepadu dalam usaha membebaskan Malaysia daripada ancaman pandemik Covid-19, kegawatan ekonomi serta kekusutan politik.’’
Begitu juga ketetapan MT untuk permuafakatan rentas parti bagi menangani kemelut ekonomi, pandemik Covid-19 dan kesejahteraan rakyat. Bukankah dalam para kelapan ucapannya, Ismail Sabri sudah menegaskan,;
‘’Saya akan memastikan barisan Kabinet komited menjayakan agenda negara, melalui jalinan kerjasama rentas parti bagi memacu pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.’’
Justeru apa perlu lagi MT UMNO untuk menekankan perkara yang sudah Perdana Menteri tegaskan dalam ucapannya? Adakah ini di kemudian hari kepemimpinan UMNO akan ‘mendabik dada’ menyatakan kejayaan kepemimpinan Ismail Sabri adalah hasil desakan parti itu?
Agak aneh apabila MT UMNO begitu beria-beria mahukan RCI ditubuhkan SEGERA bagi menyiasat pendedahan oleh Tommy Thomas. Kenapa perlu SEGERA? Apakah RCI tersebut lebih penting daripada pandemik Covid-19 yang sepatutnya diberi tumpuan penuh berbanding penubuhan RCI yang akan dianggap bermotif politik?
Penubuhan RCI ini tidak perlu disegerakan kerana Ismail Sabri dan Kabinet mempunyai urusan yang lebih penting untuk diuruskan. Bila semua sudah selesai barulah, beliau boleh menumpukan kepada soal-soal lain. Buat masa ini perkara paling utama ialah mengeluarkan negara dari pandemik Covid-19, memulihkan ekonomi dan memastikan kesejahteraan rakyat.
Senang cakap, Ismail Sabri dan Kabinetnya mempunyai tugas lain untuk disegerakan berbanding penubuhan RCI melibatkan pendedahan Tommy Thomas.
Begitu juga soal tuntutan lapuk UMNO berkaitan moratorium dan i-Citra, semua perkara itu sudah dilaksanakan, biasalah ada sikit sebanyak kelemahan tetapi kita percaya kerajaan terdahulu melakukannya mengikut kemampuan kewangan negara dan kenapa tuntutan atau kehendak seperti mana dikehendaki oleh parti tersebut tidak boleh dilaksanakan.
Rasanya sudah cukup UMNO menggunakan ‘modal lapuk’ itu untuk menunjukkan parti tersebut mahu menjadi pembela rakyat. Tak kanlah bertukar Perdana Menteri pun masih lagi ‘menyanyi lagu yang sama’.
Betul, mereka akan menegaskan, ia demi kepentingan rakyat tetapi kerajaan termasuk Ismail Sabri pasti akan berhadapan dengan isu kenapa ia tidak boleh dilaksanakan seperti mana dituntut oleh UMNO. Jadi janganlah MT UMNO dilihat mahu menyusahkan Ismail Sabri.
Tindakan MT UMNO bercakap soal penggunaan nama kerajaan juga agak melucukan. Tak kanlah bermesyuarat berjam-jam, perkara seumpama itu dibangkitkan. Sebenarnya nak guna nama apa sekalipun itu bukanlah isu. Apa yang lebih penting keberkesanannya.
Kenapa alergi sangat dengan nama Perikatan Nasional (PN)? Alasan UMNO, ‘’kerajaan ini merupakan kerjasama politik longgar antara parti Barisan Nasional dan Perikatan Nasional. Jika itu hujah maknanya, UMNO janganlah terlalu banyak sangat mahu memberi tekanan kepada Ismail Sabri dengan ketetapan itu dan ini.
Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri dengan sokongan 114 ahli Parlimen dan daripada itu jumlah 42 datang daripada BN manakala 73 daripada gabungan PN. Justeru Ahli Parlimen Bera itu bertanggungjawab untuk menyantuni semua parti bukan mahu melayan kehendak politik UMNO sahaja.
Kalaulah Pas melalui Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberi kepercayan penuh kepada Ismail Sabri menguruskan negara tanpa meletakkan apa-apa desakan dan gesaan, kenapa yang UMNO beria-ia benar mahu berbuat demikian kepada Naib Presiden mereka sendiri?
Sepatutnya Ismail Sabri tidak diganggu dengan tekanan daripada mana-mana parti apabila sudah membentuk Kabinet. Kalau ada yang mahu memberi pandangan, boleh sahaja tetapi jangan dilihat berbentuk desakan sehingga menjejaskan tumpuan kerajaan menangani pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.
Pemimpin-pemimpin UMNO harus memberi ruang kepada Ismail Sabri bertugas dengan tenang. Walaupun beliau daripada UMNO tetapi beliau adalah Perdana Menteri kepada semua termasuklah parti-parti politik.
Cukuplah dengan apa yang dilakukan oleh segelintir pemimpin UMNO dan ‘batu api’ mereka terhadap Muhyiddin, tak kanlah perkara yang sama mahu dilakukan kepada Ismail Sabri pula?
Apakah selepas ni kita mahu menyaksikan pada awal pagi seperti mana 7 Julai lalu, Presiden UMNO muncul mengumumkan penarikan sokongan kepada Perdana Menteri dengan alasan yang dilihat bermotif politik?
Justeru kepemimpinan dan MT UMNO tidak perlu mengganggu Ismail Sabri. Beliau berhadapan dengan cabaran besar dan segala misi yang beliau gariskan ketika ucapan pengumuman Kabinet semalam tidak akan dicapai jika Perdana Menteri diganggu dengan serangan bermotif politik seperti mana dialami Muhyiddin.
Cukuplah sekali! Jangan sampai orang kata kerja UMNO hanya mahu menjatuhkan Perdana Menteri dan kerajaan sahaja.
Leave a Reply