Suresh, Wiro perbaharui rekod musim terbaik dalam aksi pertama

DUA pemanah negara, S. Suresh dan Wir Julin berjaya memperbaiki catatan peribadi terbaik musim ini pada aksi pertama mereka dalam pusingan penentuan ranking mereka di Temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020, hari ini.

Suresh mengakhiri saingan bagi acara recurve lelaki terbuka di tangga ke-28 daripada 31 pemanah dalam saingan yang berlangsung di Lapangan Memanah Yumenoshima Park.

Suresh yang merupakan juara memanah dunia 2019, mencatat 579 mata bagi memadam rekod terdahulu iaitu 557 mata yang dicatatkan pada satu kejohanan di Republik Czech, bulan lalu.

Sementara itu, Wiro yang beraksi dalam acara compound lelaki terbuka mencatat 673 mata bagi mengatasi rekodnya sebelum ini iaitu 646 mata juga dalam kejohanan sama di Republik Czech.

Pemanah berusia 26 tahun itu menamatkan cabaran di tangga ke-26 daripada 36 peserta dan akan berentap dengan Bair Shigaev dari Jawatankuasa Paralimpik Rusia pada pusingan kedua esok.

Suresh juga dijadual berdepan rakan senegara Bair, iaitu Bato Tsydendorzhiev pada pusingan pertama, 3 September ini.

Jurulatih kebangsaan, Marzuki Zakaria tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya memandangkan ini adalah penampilan pertama mereka di pentas Paralimpik.

Bagaimanapun, Marzuki berpendapat kedudukan ranking bukanlah jaminan untuk merangkul pingat walaupun dalam masa yang sama mengakui cuaca dan angin kuat sedikit sebanyak menjejaskan prestasi dua pemanah negara itu.

“Terdapat pemanah di Sukan Olimpik yang tersingkir awal walaupun mereka menampilkan persembahan baik dalam pusingan ini.

“Saya harap atlet kita dapat menghasilkan panahan yang konsisten pada aksi kalah mati nanti,” katanya kepada Bernama.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *