pelantikan

Kedah yakin Kabinet mampu tangan Covid-19 secara cekap, efisien

Oleh RIZQI ZABIDI

KERAJAAN negeri Kedah menaruh keyakinan penuh terhadap keupayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri serta barisan Kabinet diumumkannya hari ini, untuk menangani masalah berkaitan Covid-19 dengan cekap dan efisien.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada pelantikan jemaah menteri dan timbalan menteri yang dibuat secara seimbang.

Selain itu katanya, pelantikan itu juga dilihat menepati kepakaran serta pengalaman kesemua yang terlibat.

“Kerajaan negeri mengalu-alukan pelantikan jemaah menteri yang baharu diumumkan. Tahniah dan selamat berkhidmat diucapkan kepada semua yang dilantik.

“Memahami bahawa situasi semasa adalah sukar dan sarat dengan cabaran, kita mengharapkan agar barisan Kabinet ‘Keluarga Malaysia’ ini dapat bekerja bersungguh-sungguh seterusnya mencapai sasaran seperti ditetapkan Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhammad Sanusi menambah, keutamaan harus diberikan untuk segera membawa negara ini keluar daripada kemelut kesihatan dan ekonomi disebabkan pandemik Covid-19 sejak hampir dua tahun lalu.

“Dalam masa sama, kita juga mengharapkan agar hubungan erat kerajaan negeri dengan Putrajaya, dapat dimantapkan lagi dari semasa ke semasa,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *