PRESIDEN Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mengucapkan tahniah kepada lapan pemimpin parti itu yang dilantik sebagai Menteri dan Timbalan Menteri dalam pengumuman Kabinet oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menyampaikan ucapan tersebut melalui Facebook beliau.
Tiga yang dilantik menteri penuh ialah Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilantik sebagai Menteri Alam Sekitar – jawatan yang sama ketika beliau berkhidmat di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan Naib Presiden Pas, Dr. Idris Ahmad yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli.
Idris yang merupakan Ahli Dewan Negara merupakan muka baharu manakala Takiyuddin sebelum ini adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).
Sementara lima lagi dilantik timbalan menteri iaitu Datuk Ahmad Marzuk sebagai Timbalan di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Awang Hashim (Timbalan Menteri Sumber Manusia).
Dr.Nik Muhammad Zawawi Salleh (Timbalan Menteri 2 Pertanian dan Industri Makanan), Datuk Amzad Mohamed (Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) dan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (Timbalan Menteri Wanita,Keluarga dan Masyarakat).
Sementara rata-rata netizen mengucapkan tahniah dan berasa gembira dengan pelantikan pemimpin-pemimpin Pas itu dengan harapan mereka akan menjalankan tugas dengan cemerlang.
Leave a Reply