TAN Sri Noh Omar menyifatkan pelantikannya sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebagai sirih pulang ke gagang.
Ahli Parlimen Tanjong Karang itu pernah memegang portfolio yang sama semasa era pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri kelima.
Selain itu, antara portfolio yang dipegang beliau dahulu adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Timbalan Menteri Pendidikan I dan Timbalan Menteri Dalam Negeri.
“Alhamdulillah, saya secara peribadi ingin mengucapkan terima kasih atas kepercayaan Perdana Menteri atas kepercayaan melantik saya sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
“Pelantikan ini ibarat sirih pulang ke gagang kerana saya pernah memegang jawatan yang sama ketika pemerintahan Tun Pak Lah,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Beliau turut menyifatkan pelantikan itu sebagai satu amanah yang wajib ditunaikan terutama sekali ketika ramai usahawan terkesan dengan kejatuhan ekonomi akibat wabak Covid-19.
“Pelantikan ini juga adalah kesinambungan kepada tugas saya selaku Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dalam membantu usahawan bumiputera.
“Terima kasih juga buat sahabat-sahabat yang sentiasa menyokong saya dari dulu. Insya-Allah amanah ini akan saya tunaikan selaras dengan kehendak Perdana Menter supaya memfokuskan kepada agenda membantu rakyat,” jelasnya.
Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, beliau perlu bekerja lebih keras kerana dua menteri sebelum beliau telah meletakkan penanda aras yang tinggi.
Ahli Parlimen Arau itu memberitahu, adalah menjadi satu cabaran baginya untuk menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Tan Sri Annuar Musa.
“Saya melihat kedua-duanya telah melakukan yang terbaik untuk penduduk Wilayah Persekutuan.
“Memandangkan mereka telah menetapkan standard yang tinggi, saya akan berusaha untuk mencapai sekurang-kurangnya standard yang sama dengan mereka,” katanya seperti dilaporkan Free Malaysia Today.
Shahidan yang juga bekas Menteri Besar Perlis pernah menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri semasa era pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.
Leave a Reply