MENTERI Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof menyifatkan pelantikan seramai lapan wakil dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Kabinet sebagai pengiktirafan untuk rakyat di negeri itu.
Beliau yang juga berkata, kepercayaan yang diberikan itu adalah amanah dan tanggungjawab besar demi rakyat serta negara.
“Saya sedar dan insaf, pada ketika rakyat masih bergelut dengan penularan pandemik COVID-19 dan keadaan ekonomi yang sangat mencabar, rakyat menaruh harapan cukup besar kepada Kabinet baharu ini.
“Seperti ditekankan Perdana Menteri, Kabinet ini adalah pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama rakyat, yang perlu bertindak pantas dan bersepadu.
“Fokus kita sekarang adalah untuk memastikan kestabilan politik, menangani pandemik COVID-19 dan pemulihan ekonomi negara, demi kelangsungan ekonomi dan kehidupan rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Berdasarkan pengumuman barisan Kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, seramai lapan wakil GPS, masing-masing dilantik menerajui satu jawatan Menteri Kanan, tiga menteri penuh dan empat timbalan menteri.
Selain Fadillah, tiga menteri penuh dari GPS ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri.
Empat timbalan menteri dari GPS pula ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hanifah Hajar Taib; Timbalan Menteri Pengangkutan, Henry Sum Agong; Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju; Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang
Walaupun bukan di bawah payung GPS, Timbalan Menteri Perusahaan Perdagangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin juga merupakan seorang lagi Ahli Parlimen dari Sarawak yang dilantik semula menganggotai Kabinet.
Dalam perkembangan berkaitan, Fadillah menggesa supaya ahli politik tanpa mengira parti dan seluruh lapisan masyarakat agar bersama-sama memainkan peranan membantu menjayakan usaha ke arah pemulihan negara.
“Peranan pihak media juga amat penting dan dalam hal ini saya berterima kasih kerana selama ini media sememangnya banyak membantu usaha kerajaan dalam menangani pandemik.
“Semua pihak perlu berpadu tenaga dan menghentikan unsur negatif demi membebaskan negara daripada ancaman pandemik,” jelasnya.
Leave a Reply