muka baharu

5 muka baharu tekad beri perkhidmatan terbaik

KABINET yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini turut dianggotai lima muka baharu.

Mereka yang kali pertama dilantik ialah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin; Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Idris yang juga Naib Presiden PAS tidak menjangka akan dilantik menyandang portfolio yang sebelum ini dipegang oleh Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau bertekad akan melaksanakan tugas dengan baik atas kepercayaan diberikan serta meneruskan usaha dan kecemerlangan dilakukan Dr Zulkifli sebelum ini.

“Insya-Allah, saya akan buat yang terbaik dan akan memberi kerjasama serta akan jumpa agensi di bawah kementerian.

“Mohon doakan saya dapat melakukan tugas dengan integriti dan mempunyai kesungguhan dalam melaksanakan tugas,” katanya.

Seorang lagi muka baharu iaitu Ahmad Faizal berkata, pengalaman panjang beliau bersama gerakan belia mengukuhkan pandangan bahawa warga belia merupakan nadi kepada negara.

Menurut Ahli Parlimen Tambun itu, Kementerian Belia dan Sukan mempunyai peranan penting untuk memperkukuh naratif Keluarga Malaysia yang dihasratkan oleh Perdana Menteri.

“Saya yakin, dalam suasana cukup mencabar ini, dedikasi dan kesungguhan para belia akan menjadi nadi penggerak penting untuk kita bangkit semula.

“Memahami hasrat Perdana Menteri untuk barisan kabinet segera melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan, saya meletakkan diri saya dalam keadaan bersedia dan akan patuh kepada arahan-arahan yang akan diberikan beliau dari semasa ke semasa,” katanya dalam hantaran Facebook.

Sementara itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kimanis menyatakan komitmennya untuk melakukan yang terbaik selepas dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan II.

Beliau berjanji akan memanfaatkan sepenuhnya kudrat yang ada padanya untuk melaksanakan tugas baharu yang diamanahkan itu.

“Setinggi-tinggi terima kasih kepada Perdana Menteri di atas kepercayaan dan amanah sebagai Timbalan Menteri Pendidikan II. Insya-Allah dengan kudrat yang ada saya akan lakukan yang terbaik demi negara.

“Terima kasih juga kepada Datuk Seri Bung Moktar Radin dan rakan pimpinan UMNO serta Barisan Nasional (BN) Sabah dan seluruh rakyat di Parlimen Kimanis di atas dorongan dan doa.

“Doakan saya diberi kekuatan dan hidayah dalam melaksanakan tugas ini. Alhamdulillah,” katanya dalam hantaran Facebook.

Jalaluddin pula akan menggunakan pengalaman sebagai bekas Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Sembilan dan Pengerusi UDA Holdings Berhad untuk membantunya menjalankan tugas yang baharu.

“Tidak janggal atau kekok untuk menjalankan tugas menjaga Wilayah Persekutuan berikutan pengalaman yang dimiliki sebelum ini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas kepercayaan yang diberi dan akan menjalankan tugas dengan penuh bertanggungjawab,” kata Ahli Parlimen Jelebu itu.

Nik Muhammad Zawawi pula mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan beliau.

“Mudah-mudahan Allah akan memberikan kekuatan dan hidayah-Nya untuk saya memikul amanah ini,” kata Ahli Parlimen Pasir Puteh itu dalam hantaran Facebook.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *