Oleh RAHIMI MOHAMAD
SEORANG anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini atas pertuduhan mengambil dadah pada awal Ogos lalu.
Tertuduh, Frankie Anak Rimong, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret R. Salini.
Lelaki itu didakwa telah memberikan dadah berbahaya jenis ketamin ke dalam tubuh badannya sendiri pada pukul 10.55 pagi di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, 6 Ogos lalu.
Pendakwaan terhadap Frankie dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan hukuman penjara tidak lebih dua tahun.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Chan Choon Yiew manakala tertuduh diwakili peguam, Chuah Shyue Chien.
Choon Yiew mencadangkan Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM8,000, namun peguam tertuduh memohon jaminan dikurangkan memandangkan lelaki itu mempunyai tanggungan empat orang anak termasuk seorang bayi berusia 10 bulan.
Majistret kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 dan menetapkan 5 Oktober depan sebagai sebutan semula kes.
Frankie adalah salah seorang daripada enam anggota dan pegawai polis yang ditahan dipercayai mengambil dadah ketika berhibur di sebuah pusat hiburan di sekitar kawasan bandar raya, 6 Ogos lalu.
Dua inspektor dan seorang anggota polis yang ditahan dalam operasi sama juga telah dituduh di pada 15 Ogos lalu, tetapi turut mengaku tidak bersalah selepas didakwa bagi pertuduhan menggunakan dadah.
Leave a Reply