GABUNGAN Wawasan Generasi FELDA (GWGF) akan menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob minggu depan berhubung penambahbaikan Perjanjian Penghapusan Pinjaman dan Pengurusan Kebun FELDA dan peneroka.
Menurut Pengerusinya, Tan Sri Rozali Ismail, perkara itu diputuskan pada mesyuarat khas yang dipengerusikannya dan disertai 14 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk NGO peneroka, peguam serta kontraktor FELDA.
Beliau berkata, sebelum ini, GWGF sudah memanggil peguam dalam kalangan anak peneroka untuk mengkaji kandungan perjanjian dikemukakan FELDA itu.
Namun, Rozali berkata, banyak terma dan syarat yang perlu ditambah dalam perjanjian itu, meskipun ramai peneroka sudah menandatanganinya.
“Mesyuarat khas hari ini bagi membincangkan secara terperinci kandungan Perjanjian Penghapusan Pinjaman dan Pengurusan Kebun antara FELDA dan peneroka yang diumumkan sebelum ini.
“Jadi, kita sudah berbincang dan bersetuju mengemukakan memorandum kepada Perdana Menteri berkaitan cadangan penambahbaikan perjanjian untuk menjaga kepentingan peneroka,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat berkenaan di Wisma Rozali, Shah Alam, hari ini.
Beliau menambah, GWGF juga akan menghantar surat kepada FELDA sementara menunggu jawapan daripada Perdana Menteri.
“Kita juga akan menulis surat kepada FELDA untuk menangguhkan tandatangan perjanjian ini dan pelaksanaan skim potongan ini sehingga dapat penyelesaian bagi memelihara hak serta kepentingan peneroka.
“Seterusnya, kita juga akan memaklumkan kepada peneroka mengenai syarat tambahan yang kita cadangkan itu,” jelasnya.
Rozali berkata, antara cadangan penambahbaikan adalah memohon FELDA mengemukakan penyata hutang berserta perincian hutang kepada peneroka setiap tiga bulan yang sudah diaudit juruaudit bertauliah.
“Antara masalah sering menjadi punca perbalahan antara FELDA dan peneroka adalah kegagalan agensi itu memberikan perincian hutang dalam penyata diberikan.
“Kita tidak mahu isu lama (berterusan), jadi pendekatan baharu dalam pengurusan ladang mesti ada penyata diaudit juruaudit bertauliah setiap tiga bulan mengikut standard piawaian di Malaysia,” katanya.
Beliau yang juga anak peneroka FELDA Gedangsa berkata, secara umumnya peneroka bersyukur dengan usaha kerajaan menghapuskan hutang majoriti peneroka FELDA berjumlah RM8.3 bilion yang dikira hingga Disember 2019.
“Jumlah hapus kira hutang peneroka mencapai sehingga 70 hingga 80 peratus dan mereka masih perlu membayar serta menyusun semula baki hutang kepada FELDA sekitar 10 peratus baki,” jelasnya.
Leave a Reply