kebijaksanaan

Bersatu serah kebijaksanaan Ismail Sabri lantik TPM

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)  menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pelantikan Timbalan Perdana Menteri dalam barisan Kabinet baharu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, selaku ketua kerajaan, Ismail sudan pasti mahu membentuk Kabinet yang dirasakan boleh bekerjasama dengannya.

Jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah, pelantikan Timbalan Perdana Menteri jika dibuat dalam kalangan pemimpin hebat sekalipun tidak akan memberi apa-apa makna sekiranya tidak boleh bekerjasama dengan kepimpinan kerajaan baharu ketika ini.

“Jika Perdana Menteri melantik orang yang hebat sekali pun tetapi tidak boleh bekerjasama tidak ada gunanya juga, sebab Kabinet nanti tidak boleh berfungsi seperti sepatutnya. 

“Jadi itu (lantikan TPM) terpulanglah kepada PM,” katanya. 

Mohd. Redzuan mengulas mengenai desas-desus pelantikan Timbalan Perdana Menteri dalam barisan Kabinet kerajaan baharu pimpinan Ismail Sabri yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Ketika ini, dua pemimpin daripada Bersatu disebut-sebut bakal menyandang jawatan nombor dua negara itu iaitu Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan seorang lagi Ahli MPT, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. 

Malah, kedua-dua pemimpin itu juga difahamkan sudah mendapat kebenaran daripada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Terdahulu, Mohd. Redzuan mengetuai pemimpin Bersatu Pulau Pinang menyampaikan bantuan berupa bantal dan tilam serta wang tunai kepada kira-kira 100 keluarga yang terjejas akibat banjir kilat di Teluk Kumbar, Pulau Pinang hari ini. 

Sementara itu, Mohd. Redzuan berkata, beliau bersedia sekiranya dipilih sekali lagi sebagai menteri dalam barisan Kabinet baharu kerana masih mempunyai tugasan dan tanggungjawab yang belum diselesaikan ketika menjadi menteri dalam dua kerajaan terdahulu.

Antaranya kata beliau, merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 selain mahu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat serta melaksanakan dasar pembangunan kepada bumiputera serta kaum-kaum lain. 

Malah, beliau turut berharap semua ahli politik sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang menolak perbezaan politik dan bersama-sama membawa negara mendepani cabaran semasa.

“Pilihan raya umum akan datang juga tidak terlalu jauh, maka kerajaan baharu hari ini adalah sangat penting. 

“Saya tidak rasa kita boleh adakan dasar baharu, jika ada pun, mungkin hanya penambahbaikan terhadap kelemahan sebelum ini untuk kebaikan semua kaum,” katanya. 


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *